Tribut 99 hari sebelum pulang ke PMC: Perjuangan belum selesai…
” Perjuangan merupakan aspirasi individu yang membulatkan tekad untuk menggerakkan segala usaha dalam mencapai objektif yang tertentu.” Bicara Obob yang berceramah di hadapan Dubdub.
.
“Dari mana kamu dapat definisi itu tersebut, Obob.” saya mencelah kerana menarik dengan isi yang dibincangkan oleh mereka.
Perjuangan
“Definisi itu saya sintesiskan daripada pembacaan saya terhadap berbagai buku 5-6 bulan kebelakangan ini.” Jawab Obob dengan yakin. Dubdub hanya mengangguk mengiyakan.
Saya tersenyum. Gembira mendengar Obob mengamalkan tabiat yang menguntungkan tetapi membebankan.
Betul. Perjuangan itu pada menggerakakkan usaha atau keupayaan dalam diri individu untuk mencapai sesuatu yang dihajatkan.
Sesuatu yang dihajatkan itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa. Ada yang memusatkan perjuangan dalam mencapai nikmat duniawi. Ada juga yang memfokuskan perjuangan dalam mencapai maksud kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti.
Tetapi, apa jua maksud ataupun hajat yang ingin dikecapi ianya bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itu perbuatan yang dilakukan untuk mencapainya dinamakan perjuangan kerana seseorang itu perlu menjadi pejuang untuk memilikinya.
“Awak semua pasti kenal Lenin bukan?” Soal saya kepada Obob dan Dubdub.
“Lenin? Bukankah dia pejuang yang menapakkan fahaman komunis di Russia.”
“Ya, dialah orangnya tetapi meletakkan segala kredit kepada Lenin saya rasa bukanlah satu tindakan yang adil.”
“Kenapa jukep cakap macam tu?” tanya Obob sedikit tercengang.
“Lenin boleh dianggap sebagai sebagai pejuang komunis yang tersohor tetapi pejuang yang sebenar ialah rakyat Russia yang hidup ketika itu.”
“Merekalah yang telah menyediakan platform untuk Lenin melancarkan reformasinya. Selama beberapa tahun rakyat telah bangkit berjuang menentang penindasan Tsar yang korup. Banyak nyawa telah terkorban dan tidak sedikit yang harus menderita seksaan menjadi tawanan algojo-algojo yang ganas.”
Saya berhenti seketika bagi mereka masa mengahadam latarbelakang February Revolution yang berlaku di Russia pada tahun 1917.

February Revolution 1917
“Tetapi, mereka tidak kisah. Biarpun ramai nyawa yang terkorban mereka sanggup melakukannya kerana mereka percaya bahawa pengorbanan mereka yang sementara akan membawa kepada keuntungan yang berpanjangan. Kepercayaan itulah yang sebenarnya mendorong mereka untuk membayar kebebasan daripada Kapitalis dengan air mata dan darah.”
Setiap perjuangan itu tercetus hasil daripada kepercayaan yang kuat. Yakni kepercayaan bahawa matlamat yang ingin dicapai melalui perjuangan tersebut lebih berharga daripada usaha yang diletakkan untuk mencapainya.
Mahar untuk berkahwin dengan kebebasan daripada cengkaman Tsar lebih mahal daripada nyawa. Tetapi, rakyat Russia ketika itu tetap sanggup merisiknya.
“Tapi, kalau kita putar balik pada zaman sekarang ini, saya perhatikan asas-asas komunis di negara Russia sudahpun terhakis. Mereka sudah mengamalkan dasar terbuka dan unsur-unsur Kapitalis seperti monopoli dilihat sudah mula bertapak kembali. Adakah ini bermakna pengorbanan yang dilaksanakan oleh orang dahulu sia-sia.” Obob melontarkan satu persoalan provokatif kepada saya.
Menarik soalan Obob ini kerana ia mendesak saya untuk menilai samada pengorbanan yang telah dilakukan oleh masyarakat Russia masa menjatuhkan kapitalis dahulu berguna ataupun sia-sia.
“Hurm, rumit bagi saya untuk menjawab soalan awak, Obob. Pengetahuan saya tidak cukup untuk sampai ke satu tahap menilai taraf pengorbanan orang lain. Tapi…”
“Matlamat yang hendak kita perjuangkan sekurang-kurangnya mestilah matlamat yang benar…?” Dubdub yang dari tadinya membisu berbicara mengemukakan pandangan.
“Betul. Apa-apa perjuangan pasti menimbulkan kepayahan dan kadangkala mengundang keperitan. Sebab itu kita kena pastikan bahawa perjuangan yang kita bawa ialah perjuangan yang berada pada landasan yang Haq. Kalau tidak, saya khuatir definisi perjuangan tersebut boleh disamakan dengan meletak diri sendiri ke dalam sangkar azab tanpa ada jalan keluar.”
“Tetapi, bagaimana ingin kita ketahui bahawa perjuangan yang kita lakukan itu tepat dan tidak sia-sia…” Sekali lagi Obob melontar batu persoalan kedalam kotak pemikiran saya.
“Wallahua’alam. Saya tidak pasti tetapi saya rasa sekiranya apa yang kita bawa dan perjuangkan itu membawa manfaat yang berkekalan kepada orang lain maka bagi saya itulah perjuangan yang sebenar. Lagi cantik kalau perjuangan yang kita bawa itu membawa manfaat yang bukan sahaja terhad di dunia tetapi boleh dinikmati semua di akhirat kelak.”
Obob mengangguk tanda memahami mesej yan saya ingin cuba sampaikan.
“Kalau begitu, perjuangan masih lagi belum selesai kan jukep?” Obob bertanya kepada saya sambil tersenyum.
“Ya…perjuangan kita masih lagi belum selesai.” Saya pun turut membalasnya dengan senyuman.

