“bila lagi boleh telefon emak?”
Dah lama rasanya tak berbual telefon dengan emak. Alhamdulillah baru sebentar tadi dapat dengar suara emak. Lega bila suara tersebut menggetarkan telinga yang sudah lama tidak didendangkan alunan kasih.
.
Bukan tak boleh selalu nak telefon emak. Kalau nak, hari-hari boleh buat. Hari-hari boleh angkat telefon, dail no +6038062**** kemudian tunggu orang angkat. Tapi, kalau buat hari-hari dan setiap masa, nanti kerja lain pula bertangguh, assignment tak siap ataupun rakan persatuan komen kenapa kerja ‘miss deadline‘.
.
Sebab itu nak telefon mak hari-hari tak ‘feasible‘. Walaupun benda baik tapi tak kena pada tempatnya.
.
Sebab itu hanya telefon emak pada hujung minggu ataupun pada masa emak atau abah atau keluarga sedang bercuti.
.
Lagi menarik kalau buat macam ini sebab cerita satu mingga boleh kumpul dan dijadikan modal untuk dikongsi sama emak atau abah.
.
Perihal cerita, emak tak suka cerita yang panas-panas. Kalau ada cerita yang panas-panas berlaku kat sini, emak hanya dengar sahaja sambil mengangguk. Bukan emak tak peduli dengan isu hangat cuma emak tak minat. Mungkin sebab waktu telefon yang singkat, maka emak lebih ingin mengetahui keadaan anaknya berbanding isu semasa yang emak boleh usaha sendiri untuk tahu melalui surat khabar.
.
Tapi, lain pula bagi abah. Abah memang suka dengar cerita yang panas-panas. Kalau cerita dekat abah cerita panas-panas, abah mesti pasang telinga dan fokus. Lepas itu abah akan kasi komen, idea dan sedikit nasihat. Menarik juga bila bincang benda-benda macam ini dengan abah. Adakalanya bila tak setuju dengan pendapat abah, abah kasi bincang. Jadi, ideapun bercambah walaupun sesetengahnya abah masih lagi dengan pendirian yang asal.
.
Lepas habis sesi dengan emak dan abah, ada sesi telefon dengan adik-adik. Dengan adik-adik selalunya hanya bertanyakan khabar ataupun tanya samada ada masalah studi ataupun tidak. Itupun kalau mereka ada di rumah dan pihak sekolah tidak buat program yang khusus untuk mereka yang menetap di asrama. Perbualan dengan adik-adik jarang lebih daripada 10 minit kerana tak banyak perkara yang boleh dibawa bicara lama-lama. Tapi, akhir perbualan selalunya diserikan dengan kata-kata nasihat dan juga janji untuk membawa pulang sesuatu semasa balik ke Malaysia nanti.
.
Sebelum talian dimatikan, emak akan capai mikrofon dan bagi sedikit peringatan. Emak akan pesan supaya jaga sembahyang, amalan dan iman. Abah pun sama, bagi peringatan sama macam emak. Saya hanya meng’hurm’ sambil memohon agar didoakan sejahtera dunia akhirat. Akhirnya, talian terputus. Status di Skype menunjukkan “Call has ended”. Saya termenung dihadapan laptop sambil bertanya dalam hati:
“bila lagi boleh telefon emak?”