JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for October, 2009


SEDEKAH: ‘KERUGIAN’ YANG MENGUNTUNGKAN

alangkah indah
orang bersedekah
dekat dengan Allah
dekat dengan surga

takkan berkurang

harta yang bersedekah
akan bertambah
akan bertambah

Allah Maha Kaya

yang Maha Pemurah
yang akan mengganti dan membalasnya
Allah Maha Kuasa
yang Maha Perkasa
semoga kan membalas surga

oh indahnya
saling berbagi
saling memberi
karna Allah

Opick: Sedekah

Sungguh lunak suara yang dialunkan Opick dalam lagunya yang berjudul sedekah. Begitu cantik juga susunan bait-baitnya dalam menggambarkan kebaikan amalan ini yang sangat dituntut dalam Islam. Di dalam firman Allah S.W.T

Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman: “Hendaklah mereka mendirikan shalat, menafkahkan sebahagian rezki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan” ( Ibrahim: 31)

Amalan sedekah

Amalan sedekah

Tetapi, disebalik anjuran agama untuk bersedekah, lagu ini juga merakamkan persoalan sebahagian individu yang beranggapan bahawa amalan bersedekah membawa kepada kerugian. Bagi mereka, kenapa harus dibelanjakan harta yang diperoleh secara susah payah kepada orang lain yang secara umumnya hanya tahu meminta-minta?

Untuk menjawab persoalan ini, pertama, kita harus menilai kembali punca kepada harta kita. Sebagai umat islam, kita wajib percaya bahawa Allah adalah punca kepada segala rezeki yang dinikmati oleh setiap ciptaan-Nya. Selain itu, Allah juga maha berkehendak dalam memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakinya. Pendek kata, Allahlah pemutus dalam segala hal berkaitan dengan pemberian rezeki. Yakni kemana dan kepada siapa rezeki itu harus pergi.

Tidak kiralah samada individu tersebut berusaha mendapatkannya ataupun tidak, ketentuan rezeki itu tetap di tangan Allah. Boleh jadi bilik tidur kita hanya di Hospital walaupun kita memiliki kemampuan harta untuk membina sebuah mahligai dek kesihatan kita yang sering terganggu ataupun tiba-tiba kita dikurniakan kejayaan dalam pelajaran walaupun masa yang diperuntukkan untuk belajar singkat sahaja dek kerja lain yang bertimbun. Kesimpulannya, setiap rezeki yang kita perolehi bukanlah milik kita secara total dan ianya hanyalah semata-mata pemberian dari Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Kedua, sekiranya amalan bersedekah merugikan individu, kenapa Islam amat menggalakkan amalan tersebut sehingga Allah sendiri menyebut terdapat ‘hak’ orang lain dalam harta orang yang beriman (Al-Ma’arij: 24) . Untuk menjawab persoalan ini marilah bersama-sama kita melihat dan mengkaji kesan ibadah zakat kepada masyarakat muslim kerana amalan bersedekah dan zakat merupakan amalan yang hampir sama.

Ibadah zakat mewajibkan setiap individu muslim yang cukup syarat untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka. Harta-harta ini kemudiannya akan dikumpul dan dibelanjakan kepada asnaf-asnaf bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Sebagai contoh, wang zakat boleh diagihkan kepada individu yang miskin tetapi mampu untuk bertani. Individu tersebut boleh menggunakan wang yang diberi untuk membeli tanah, baja dan juga benih. Dengan memiliki asset untuk bertani, individu tersebut boleh meningkatkan taraf hidupnya dengan berusaha untuk mengeluarkan dirinya dari kepompong kemiskinan.

Begitu juga dengan anak yatim. Tanpa ibu dan bapa, peluang anak yatim untuk melanjutkan pelajaran amat terhad kerana kekurangan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan pendidikannya. Tetapi, sekiranya kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita untuk dikumpulkan dan diberi kepada anak yatim, anak yatim tersebut boleh menggunakan peluang tersebut untuk membeli buku-buku dan alatan belajar lain untuk meningkatkan taraf hidupnya.

Kedua-dua contoh diatas sekiranya dipraktikkan secara efisiyen akhirnya akan membawa keuntungan kepada pemberi zakat ataupun sedekah. Bagaimana ini boleh berlaku? Sebagai contoh, katakan skim galakan bertani melalui wang zakat diperluaskan kepada 1000 petani maka 1000 petani yang bermanfaat ini bakal meningkatkan pengeluaran makanan negara. Begitu juga sekiranya skim bantuan zakat kepada anak yatim diperluaskan kepada 1000 anak yatim. Maka, negara boleh menambah jumlah golongan professional, sebagai contoh, saintis yang mungkin boleh mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran tanaman bagi setiap hektar plot tanah.

Kebaikan Zakat

Kebaikan Zakat

Hasilnya, katakan petani dan anak yatim yang berjaya ini bekerjasama dalam sektor industri penghasilan makanan negara, skim-skim ini bukan sahaja akan menambahkan bilangan pengelur makanan tetapi juga kadar pengeluaran makanan yang akhirnya membawa kepada pertambahanbekalan makanan dalam pasaran.

Menurut Law of Demand and Supply, dengan pertambahan bekalan ( supply ) maka harga sesuatu produk tersebut akan menurun. Dan teka siapa yang dapat menikmati harga yang makanan yang lebih murah? Semua pengguna termasuklah mereka yang terlibat dalam mengeluarkan sebahagian harta mereka untuk menampung skim-skim diatas. Walaupun situasi ini mengambil sedikit masa untuk menjadi realiti, apa yang penting, di penghujungnya tiada siapa yang rugi samada di pihak yang memberi ataupun yang menerima.

Sebab itulah zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz dianggapa sebagai zaman kegemilangan ekonomi umat islam kerana sistem zakatnya yang efisyen dan juga sikap rakyatnya yang gemar membelanjakan harta untuk membantu orang yang susah telah menyebabkan tiada seorang pun yang layak menjadi asnaf ketika zaman pemerintahan baginda.

Sebagai kesimpulannya, amalan bersedekah bukanlah satu amalan yang merugikan pihak yang memberi dan menguntungkan pihak yang menerima. Sebaliknya kedua-dua pihak bakal menikmati hikmah disebalik amalan yang mulia ini. Malah Allah juga telah menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda kepada mereka yang memberi sedekah. Dalam firman-Nya:

Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya“. ( Al-Baqarah : 261 )

Justeru, marilah bersama-sama kita suburkan amalan ini dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi pada hari yang mulia seperti hari ini. Mudah-mudahan dengan amalan ikhlas yang kita lakukan ini, kita bakal diberi tempat yang istimewa di sisi-Nya di akhirat kelak. Wallahua’alam.

Charity Week 2009 dan Speaker Tour

Salam…

InsyaAllah, untuk dua minggu akan datang, FOSIS ( Federation of Islamic Societies ) akan menganjurkan 2 acara berlainan di bumi St. Patrick ini. Saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian untuk terlibat ataupun mengunjungi acara berkenaan kerana saya yakin ada manfaat di sebaliknya.

Charity Week 2009

Poster Charity Week...

Poster Charity Week...

(KLIK UNTUK TRAILER YOUTUBE)

Charity week merupakan acara amal yang diadakan oleh FOSIS setiap tahun dengan objektif untuk mengumpulkan sumbangan derma bagi dihulurkan kepada anak-anak yatim di seluruh dunia. Tahun lepas, FOSIS telah berjaya mengumpulkan derma sebanyak 600,000 pound. Satu jumlah yang besar yang telah dimanfaatkan di rumah-rumah anak yatim di seluruh dunia terutamanya di kawasan yang memerlukan seperti di Afrika.

Banyak acara yang dilangsungkan tahun ini untuk menarik perhatian orang ramai agar menderma. Antaranya ialah:

1. Dandanan Henna
2. Pertandingan Futsal
3. Street Collection
4. Jualan makanan dan juga aneka barangan yang lain.

Untuk tahun ini, kami mensasarkan jumlah sebanyak 10,000euro untuk dikutip di Ireland. Jadi, bagi sesiapa yang berminat untuk terlibat ataupun turut sama menghulurkan sumbangan saya kata; marilah! tak rugi kerana anda akan dapat sekurang-kurangnya dua pulangan:

Keseronokan beramal dan Ganjaran Pahala…InsyaAllah. Cepat, hubungi wakil universiti anda; ( Klik Disini )

.

.

.

SPEAKER TOUR

Sebaik sahaja Charity Week berakhir yakni dari 3-14 November 2009, seorang penceramah jemputan dari US akan didatangkan FOSIS ke Ireland untuk menyampaikan satu siri ceramah bersempena dengan Speaker Tour. Penceramah yang dimaksudkan ialah Saudara Yusha Evan yang merupakan seorang ‘revert’.

Poster program

Poster program

Beliau amat berpengalaman dan aktif dalam mengendalikan usaha-usaha dakwah di US. Pernah bersama saudara Yusuf Estes dan juga menuntut dengan guru-guru yang masyhur di US dan juga Mesir. (Klik disini untuk biodata peribadi lengkap beliau)

InsyaAllah, beliau akan menjelajah universiti-universiti di Dublin, Cork, Galway dan Belfast sepanjang program ini. Jadi, jom kita pakat ajak ramai-ramai datang. InsyaAllah, semoga ilmu yang beliau miliki dapat kita manfaatkan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta digunakan bagi merancang metode dakwah yang berkesan pada zaman ini.

Anekdot: Mungkin kita boleh tanya beliau perihal Islamophobia di US masa program nanti…

“bila lagi boleh telefon emak?”

Dah lama rasanya tak berbual telefon dengan emak. Alhamdulillah baru sebentar tadi dapat dengar suara emak. Lega bila suara tersebut menggetarkan telinga yang sudah lama tidak didendangkan alunan kasih.

.

Bukan tak boleh selalu nak telefon emak. Kalau nak, hari-hari boleh buat. Hari-hari boleh angkat telefon, dail no +6038062**** kemudian tunggu orang angkat. Tapi, kalau buat hari-hari dan setiap masa, nanti kerja lain pula bertangguh, assignment tak siap ataupun rakan persatuan komen kenapa kerja ‘miss deadline‘.

.

Sebab itu nak telefon mak hari-hari tak ‘feasible‘. Walaupun benda baik tapi tak kena pada tempatnya.

.

Sebab itu hanya telefon emak pada hujung minggu ataupun pada masa emak atau abah atau keluarga sedang bercuti.

.

Lagi menarik kalau buat macam ini sebab cerita satu mingga boleh kumpul dan dijadikan modal untuk dikongsi sama emak atau abah.

.

Perihal cerita, emak tak suka cerita yang panas-panas. Kalau ada cerita yang panas-panas berlaku kat sini, emak hanya dengar sahaja sambil mengangguk. Bukan emak tak peduli dengan isu hangat cuma emak tak minat. Mungkin sebab waktu telefon yang singkat, maka emak lebih ingin mengetahui keadaan anaknya berbanding isu semasa yang emak boleh usaha sendiri untuk tahu melalui surat khabar.

.

Tapi, lain pula bagi abah. Abah memang suka dengar cerita yang panas-panas. Kalau cerita dekat abah cerita panas-panas, abah mesti pasang telinga dan fokus. Lepas itu abah akan kasi komen, idea dan sedikit nasihat. Menarik juga bila bincang benda-benda macam ini dengan abah. Adakalanya bila tak setuju dengan pendapat abah, abah kasi bincang. Jadi, ideapun bercambah walaupun sesetengahnya abah masih lagi dengan pendirian yang asal.

.

Lepas habis sesi dengan emak dan abah, ada sesi telefon dengan adik-adik. Dengan adik-adik selalunya hanya bertanyakan khabar ataupun tanya samada ada masalah studi ataupun tidak. Itupun kalau mereka ada di rumah dan pihak sekolah tidak buat program yang khusus untuk mereka yang menetap di asrama. Perbualan dengan adik-adik jarang lebih daripada 10 minit kerana tak banyak perkara yang boleh dibawa bicara lama-lama. Tapi, akhir perbualan selalunya diserikan dengan kata-kata nasihat dan juga janji untuk membawa pulang sesuatu semasa balik ke Malaysia nanti.

.

Sebelum talian dimatikan, emak akan capai mikrofon dan bagi sedikit peringatan. Emak akan pesan supaya jaga sembahyang, amalan dan iman. Abah pun sama, bagi peringatan sama macam emak. Saya hanya meng’hurm’ sambil memohon agar didoakan sejahtera dunia akhirat. Akhirnya, talian terputus. Status di Skype menunjukkan “Call has ended”. Saya termenung dihadapan laptop sambil bertanya dalam hati:

“bila lagi boleh telefon emak?”

Kalau Boleh…

Kalau boleh bermain masa
Pasti ku putar jarum waktunya
Ingin kembali ke zaman muda
Terlepas memikirkan mehnah dunia

.

Kalau boleh ku ungkapkan kata
Pasti berbaris ku luahkan rasa
Tetapi hati merah jangan dituba
Nanti tawar untuk bersua

.

Kalau boleh aku bersendirian
Ingin ku pinta ruang di tepian
Mengatur kembali jalan kehidupan
Agar tidak berliku kekusutan

.

Kalau boleh ingin ku lihat
Tiada puak dalam berumat
Tetapi manusia bukannya gamat
Masing-masing punya matlamat

.

Kalau boleh ku lepaskan tanggungan
Ingin ku lari bersembunyi di Kayangan
Tapi janji tuhan bukan murahan
Syurga bukan untuk yang berangan

Kamar 1, 11.39 malam
Baiti Jannati

Kalau boleh...

Kalau boleh...