Coretan Syawal
Pagi tadi saya terjumpa secebis nota diatas meja. Bunyinya begini:
.
“Jukep, saya dan Dubdub pergi mencari sanak saudara kami. Mahu bermaafan-maafan di hari yang mulia ini. Yang benar - Obob”
.
Nota itu saya letak kembali ke atas meja sambil menyambung kerja memeram ayam. Dek kerana sibuk menyiapkan makanan untuk tetamu yang akan datang ke rumah terbuka kami sebentar nanti, saya tidak ada masa untuk membaca nota itu sepenuh hati. Harap-harap mereka semua selamat semasa berada di luar sana.
.
Perhatian kini saya tumpukan kepada mempersiapkan rumah terbuka kami. Menu yang kami cadang untuk hidangkan ‘simple‘ belaka. Hanya mee kari dan ayam BBQ. Ingat nak tambah lontong tapi, sebab tiada masa dan tak cukup tenaga, kami kekal kepada rancangan asal kami.
Sebelum ini, telah pun ada sebuah rumah kenalan kami yang telah menganjurkan rumah terbuka berdekatan dengan kawasan tempat tinggal kami. Sebelum itu juga, hari khamis lepas, Cik Afidah, pegawai JPA Dublin sudah menganjurkan rumah terbukanya. Tapi rumah terbuka yang paling meriah sekali tentunya rumah terbuka anjuran Duta pada hari raya pertama yang bertempat di Malaysian Hall. Sepanjang hidup saya memenuhi undangan rumah terbuka, saya memerhatikan trend rumah terbuka ini mempunyai beberapa ciri yang khusus:
.
1) Makanan yang tuan rumah hidangkan pasti sedap belaka.
2) Trend seumpama ini hanya diamalkan oleh masyarakat Malaysia sahaja dan hanya ketika bulan Syawal.
.
Tanpa dinafikan lagi tuan rumah yang menganjurkan rumah terbuka secara umumnya akan memastikan makanan yang disediakan sedap. Sebabnya, makanan yang sedap menjanjikan tarikan yang boleh menarik lebih ramai tetamu untuk datang. Rumah yang menghidangkan Sate, contohnya, akan dijadikan prioriti untuk dilawat terlebih dahulu daripada rumah yang hanya menjamukan air sirap.
.
Tetapi, umumnya juga, ( saya hanya bercakap dari segi umum merujuk kepada beberapa buah rumah yang saya telah pergi ) kadangkala kita terlepas pandang dalam soal menjaga kesihatan apabila menghadiri rumah terbuka. Rata-rata rumah terbuka yang saya pergi pasti ada menghidangkan makanan yang mempunyai kandungan kolesterol yang agak tinggi. Sebagai contoh, hidangan ‘wajib’ seperti rendang, lontong dan…errr, sate (kalau makan lebih dari 20 cucuk)

Rumah terbuka tipikal di Malaysia
Kenapa kolesterol? kolesterol penting kerana 1) kalau kita tak ambil kolesterol, badan kita mampu menghasilkan kuantiti kolesterol yang mencukupi. 2) Kolesterol adalah salah satu punca kepada darah tinggi dan darah tinggi pula adalah punca kepada Kerajaan terpaksa menampung kerugian yang tinggi setahun menanggung masalah penyakit berkatian.
.
Baru-baru ini, ‘in fact’, hari ini saya ada terbaca laporan dalam utusan yang mengatakan kerajaan bersetuju untuk memberi vaksin pelalian bagi mencegah barah pangkal rahim ( cervical cancer ). Pemberian vaksin ini berkemungkinan akan dilakukan di sekolah-sekolah untuk pelajar perempuan yang mencecah umur 13 tahun. Untuk usaha ini, Kerajaan dijangka terpaksa menanggung kos sebanyak RM150 juta setahun membeli vaksin tersebut daripada pembekal…
.
Hurm…nampak macam satu usaha yang melibatkan kos yang besar. Tetapi, apabila melihat kepada fakta yang kerajaan terpaksa membelanjakan hampir 380 juta untuk merawat komplikasi daripada HPV ( virus dan juga penyebab utama barah pangkal rahim ) maka langkah kerajaan menjimatkan RM230 juta dengan tindakan mencegah daripada mengubati merupakan sesuatu yang bijak. (sumber: Utusan)
.
Namun berlainan pula dengan darah tinggi serta kebanyakan penyakit salur darah yang lain. Setakat ini saya tidak tahu lagi ada maklumat yang mengatakan darah tinggi boleh dicegah dengan vaksin…( kecualilah darah tinggi yang berpunca daripada serangan virus/bakteria ). Justeru, tiada cara lain bagi kita untuk mengawal penyakit ini kecuali dengan mengawal salah satu puncanya iaitu pengambilan kolesterol.
.
Oleh kerana kolesterol boleh dihasilkan oleh badan, maka kadar penghasilan kolesterol bergantung kepada jumlah kolesterol yang diperoleh dari sumber luar. Jika kita ambil lebih kolesterol maka badan akan menghasilkan kolesterol dalam kuantiti yang sedikit dan begitulah sebaliknya.
.
Ketika puasa, jumlah kolesterol yang diambil berkurangan sebab kita makan sedikit. Jadi, badan akan ‘adjust‘ kadar penghasilan kolesterol di kilang kolesterol yang terletak di hati supaya meningkatkan penghasilan kolesterol dalam jumlah yang cukup sahaja untuk badan. Akhirnya, dalam tempoh sebulan, badan akan mula beradaptasi dengan kadar penghasilan kolesterol yang baru ini.
.
Tetapi, adaptasi ini menimbulkan masalah ketika bulan Syawal. ketika ini pengambilan kolesterol kita mendadak secara tiba-tiba kerana kadar pengambilan makanan yang meningkat dek jemputan ke rumah terbuka yang tidak putus-putus.
.
Kesannya, kandungan kolesterol dalam badan kita melebihi paras normal disebabkan badan kita memerlukan sedikit masa untuk ‘adjust‘ kembali kadar penghasilan kolesterol di kilang kolesterol kepada kadar baru yang jauh lebih sedikit.
.
Sementara badan kita meng’adjust‘ kembali kadar penghasilan kolesterol semulajadi, lebihan kolesterol yang terdapat dalam badan boleh mendedahkan kita kepada pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan strok ( Faktor utama kepada pembentukan penyakit ini ialah salur darah sempit yang disebabkan oleh arterosklerosis ataupun pemendapan kolesterol di bahagian dalam salur darah )
.
Justeru, langkah terbaik dalam melindungi kita daripada penyakit ini ialah dengan mengawal pengambilan pemakanan kita. Walaupun hidangan yang disediakan mungkin kelihatan ‘baik’ di mata, namun harus diingat juga yang tidak semua perkara yang zahirnya baik tidak memudaratkan.
.
Tidak seperti barah pangkal rahim, penyakit yang disebabkan oleh kadar kolesterol yang tinggi tidak mempunyai vaksin yang khusus untuk mencegahnya. Maknanya, langkah pencegahan bagi penyakit-penyakit tersebut harus datang daripada diri kita sendiri.
.
Melainkan kita masih lagi mahu mengeluh yang pihak kerajaan tidak menyediakan biasiswa pendidikan yang mencukupi seetiap tahun maka kita biarkan sahaja kerajaan membelanjakan berates juta setiap tahun dalam merawat penyakit kardiovaskular yang boleh dicegah tanpa perlu kita risau pasal paras kolesterol.
.
Jadi, mahu mula berubah? Hurm…bersempena dengan Syawal ini, apakata mulakan dengan mengawal pemakanan di rumah terbuka…



