JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for August, 2009


Babysitting Daniel, Harris dan Adam (1 of 2)

5 Ramadhan…loceng pintu rumah berbunyi.

“Eh, Abang Mawardi. Apa hajat?”

“Erm…abang tinggalkan anak abang boleh? Anta jagakan.”

Daniel, 8 tahun hanya tersenyum. Macam suke je bila kena tinggalkan dengan Pointdexter, gelaran yang diberikannya kepada saya.

“Err…”

Abi, you are leaving me with the Pointdexter aren’t you?” Daniel senyum lagi kali ini lebih lebar.

Abang Mawardi hanya diam. Saya pula senyum kambing…Dengan ini secara rasminya saya kena jaga 3 hero Abang Mawardi, Daniel, Harris, 10 dan Adam, 13

…………………………………………………………………………………………………………………………………….

Daripada ketiga-tiga anak ABang Mawardi, Daniel lah yang paling gerenyau sekali. Sukar sekali baginya untuk duduk diam. Pasti ada sahaja benda yang nak dilakukannya. Sekejap ajak saya lengkapkan jigsaw puzzle , sekejap minta saya temankan dia bermain catur kemudian tersengih-sengih pula meminta kebenaran menggunakan laptop saya untuk main game ‘sky kingdom’ (Ayah pin???) di miniclip.com.

.

Adam pula kelihatan agak senyap. Mungkin kerana statusnya sebagai anak sulung membuatkan Adam berkelakuan lebih matang. Lagipun dia sudah berumur 13 tahun. Sudah boleh dikira remaja bangat bagi seseorang yang menghabiskan masanya dari lahir tinggal dan belajar di Kent, England.

.

Harris pula perangainya separuh Adam separuh Daniel. Tidak terlalu kebudak-budakan tetapi masih lagi suka bermain-main. Pantang lihat Daniel bermain sesuatu pasti dia ingin menjadi sparring partner ataupun berebut permainan yang dimainkan dengan Daniel.

.

Seronok juga sebenarnya jaga budak-budak nih. Semenjak Abang Mawardi mula tinggalkan mereka di rumah kami, tidak pernah ada satu masa pun kami tidak diganggu dengan keriuhan telatah mereka.

.

Asyik bercakap sahaja tidak berhenti-henti. Kadangkala percakapan mereka doesn’t make any sense pun tetapi menggelikan deria lucu kami apabila masing-masing cuba mengusik diantara satu sama lain. Paling teruk pun gurauan mereka ada melibatkan sedikit tepuk tampar tapi selepas itu selalunya diiringi dengan gelak ketawa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aduh, rindu pula zaman saya masa kecik-kecik.

.

Namun, pesan Abang Mawardi supaya tolong diajar budak-budak ini membaca IQRA’ tidak saya lupakan. Sampai masanya, saya dengan housemate akan pastikan mereka mengaji dengan kami. Abang Mawardi tak tentukan berapa sukatannya tetapi apa yang kami buat kami pastikan mereka habis mengaji dua muka surat pada setiap sesi. Mudah-mudahan dengan mengaji ini ruh islam yang ada pada anak-anak ini tidak akan lesap ditelan budaya tempat mereka tinggal.

.

Could you let me play this game for another 5 minutes?” Daniel cuba merayu.

.

Sure but you have to make a choice. Stop now, play later or go on playing for a few minutes but then you couldn’t play it anymore.” Saya bertegas.

.

Konsep disiplin (rewards and punishments) terhadap mereka perlu diterapkan selagi rebung mudah dilentur selain melaksanakan amanah Abang Mawardi supaya diajarkan anaknya IQRA.

.

Daniel akhirnya terpaksa akur sambil perlahan-lahan mengambil buku IQRAnya nombor satu.

.

Bersambung…( Maaf, habit saya buat posting yang ada sambung2 )

FATIHAH…(2 of 8)

terima kasih ingin diucapkan kepada yang telah proofread cerita ini sebelum dipaparkan dan selamat beribadah di bulan ramadhan kepada seluruh muslimin dan muslimat…

…………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAKE 2: Dr. Hasnul.

Namun begitu, Fatihah tidak menyedari bahawa ada sepasang mata lain yang belum tidur sedang memerhatikan gelagatnya. Dr. Hasnul, seorang doktor muda lulusan Ireland sedang meneliti setiap geri-geri Fatihah ketika itu.

.

Sambil menyicip sedikit kopi bukat dari cawan putih, Dr. Hasnul mengenangi kembali peristiwa dia dipertemukan dengan Fatihah buat pertama kali. Ketika itu dia sedang merawat seorang pesakit gastrik sebelum seorang jururawat termengha-mengah datang mejumpainya dan memintanya agar ke bilik kecemasan. Katanya ada gadis di akhir belasan tahun yang memerlukan perhatian Dr. Hasnul dengan segera.

.

Apabila tiba di bilik kecemasan dia melihat gadis yang dimaksudkan itu terbaring lemah di atas katil sambil dikelilingi oleh 2 orang jururawat yang lain. Matanya kuyu manakala mukanya putih kepucatan. Menurut jururawat itu lagi, ibunya ada mengatakan yang anaknya mengadu sakit ulu hati dan muntah-muntah beberapa hari sebelum ini.

.

Sambil menyicip kopinya kali kedua, Dr. Hasnul mengimbas semula pengalaman dia bertungkus-lumus memberikan rawatan anti-emetik kepada Fatihah. Dia juga turut mengarahkan jururawat yang mengikutinya untuk mengambil sampel darah Fatihah untuk ujian lanjut bagi mengenal pasti punca penyakitnya.

.

Setelah yakin yang Fatihah tidak muntah-muntah lagi, Dr. Hasnul memulakan pula rawatan re-hydration kepada Fatihah. Dia mengesyaki sesuatu apabila memerhatikan satu tompok lebam di sisi leher Fatihah. Tetapi, oleh sebab keadaan Fatihah semakin stabil dia tidak berapa menghiraukannya.

Emergency Room

Emergency Room

Sebelum menghabiskan titisan terakhir kopinya, Dr. Hasnul terkenang pula pujian-pujian yang diberikan oleh jururawat kepada Fatihah sehari selepas Fatihah berada di hospital. Puji mereka, Fatihah seorang pesakit yang tak banyak soal dan palingberdikari. Apa yang diarahkan semuanya akan dibuat.

.

Cumanya, kata mereka lagi, Fatihah agak misteri, pendiam dan tidak gemar berbicara. Kadangkala, Fatihah cuba untuk mengelak ataupun menyorokkan dirinya dalam selimut apabila ada orang menghampirinya. Fatihah juga tidak suka orang membantunya. Sehingga ke tandas sekalipun dia minta agar tiada orang menemaninya walaupun ketika itu dia masih lemah.

.

“Fatihah, Fatihah.” ujar Dr. Hasnul perlahan. Mengenangkan segala kisah lama mengenai Fatihah membuatkan dia hanya menggelengkan kepalanya.

.

Dia juga merasakan seperti ada sesuatu yang musykil pada diri Fatihah yang menarik untuk disiasat selain punca kepada sebab dia dimasukkan ke hospital. Mana tahu, mungkin sesuatu itu adalah sesuatu yang boleh mewarnai kariernya atau… Ah, apa-apa pun, tidak sabar rasanya untuk dia menemukan sesuatu tersebut.

.

Tanpa disedarinya, gadis yang diperhatikannya rupa-rupanya sudahpun lelap. Usaha Fatihah untuk tidur telah berhasil akhirnya. Dr. Hasnul gembira. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya.

.

Melihatkan kopi di cawannya sudah habis, beliau melangkah ke kantin untuk mengisinya semula. Malam ni beliau tidak boleh banyak berehat kerana beban on-call pada malam itu menantinya. Tetapi, sebelum pergi jauh meninggalkan wad Fatihah, hatinya tekad ingin mencari penyelesaian kepada masalah yang menimpa Fatihah.

.

Bersambung…

FATIHAH…(bahagian pertama)

Laki-laki dan perempuan,
Masing-masing punya peranan,
Bila tanggungjawab ditinggalkan,
Perit derita jangan dipersalahkan.

TAKE 1: PROLOG

Waktu malam di wad hospital ketika itu terasa sejuk bagi Fatihah. Begitu dingin sehingga dirasakan seluruh tubuhnya menggigi.

.

Tidak tertahan, Fatihah lantas bangkit dan bersandar pada kepala katil empuk bercadar putih yang disediakan untuknya di wad itu. Selimut tebal dua lapis yang dipintanya khas dari pihak hospital dibetul-betulkannya agar kemas mambaluti tubuhnya. Fatihah menolehkan kepalanya ke kiri dan kanan.

.

“Dah tidur semuanya.” Gerutu hati kecilnya apabila melihat teman-teman wadnya yang lain sedang asyik lena dibuai mimipi. Ada juga yang sedang berdengkur kuat. Hanya beberapa mesin elektronik yang kelihatan terjaga dan terus setia mengawasi vital signs setiap pesakit yang dirawat di wad tersebut.

.

Fatihah mengalihkan pandangannya ke arah satu sudut dinding. Jarum jam Seiko bewarna putih yang tergantung disitu sudah menunjukkan angka 3. Fatihah memejamkan matanya.

.

“Tidurlah.” Ujar Fatihah dalam hati cuba untuk memujuk dirinya tidur tetapi, seperti malam-malam sebelumnya dia mendapati dirinya masih lagi sukar untuk tidur. Fatimah cuba pula membalik-balikkan tubuhnya ke kekiri dan kekanan tetapi dia masih lagi terjaga. Fatihah pasrah.

Wad hospital

Wad hospital

Fatihah sedar kesukarannya untuk tidur adalah kerana hatinya dilanda ribut resah,perasaannya dipukul taufan gundah kerana kehadiran perkara itu yang menghantui fikirannya saban hari. Perkara itu jugalah yang akan muncul setiap malam dan mengganggu usahanya untuk tidur. Satu perkara hitam yang perih yang dia pinta agar pergi jauh-jauh. Biar beribu batu jauhnya dari kotak mindanya.

.

Tetapi, makin perkara itu ingin dijauhinya makin dekat pula perkara itu datang meminta pertimbangan akalnya, fikirannya. Seolah-olah perkara itu tidak mahu berganjak selagi Fatihah tidak menerima hakikat kehadirannya, kewujudannya. Yang walaupun pahit untuk diterima oleh Fatihah tetapi tetap menuntut hak dalam ruang hidupnya.

.

Fatihah kini runsing. Badannya semakin menggigil. Tapi, kali ini kesejukan yang dirasainya bukanlah kesejukan yang biasa. Kesejukan ini datang dihambat perasaan takut pada perkara tersebut yang baginya tidak bisa dihangatkan oleh mana-mana selimut yang biasa.

Kopitiam Ghadir…

.

Bagi sesiapa yang masih lagi belum mengetahui apa itu kopitiam Ghadir maka bolehlah lawat link ini. Sudah tahu? Baguslah. Tapi, kenapa saudara FT menjudulkan karya terbarunya Kopitiam Ghadir dan bukannya Kopitiam Bangsar mahupun Kopitiam Wangsa Maju?

.

Selepas beberapa pencarian melalui teman saya (google) baru saya mengetahui bahawa Ghadir itu sebenarnya adalah nama sebuah lokasi di timur tengah. Ianya terletak diantara Mekah dan Madinah atau lebih spesifik lagi 250KM perjalanan daripada Mekah menghala ke Medinah. Pada zaman sekarang, dimana penjana hawa dingin kereta pun diukur dengan kuasa kuda, Ghadir mungkinlah hanya sebuah lokasi yang jarang dipedulikan oleh kereta-kereta mewah yang laju melintasinya.

.

Tetapi, pada zaman awal islam dahulu, Ghadir merupakan lokasi yang penting kerana distulah terdapat oasis yang berfungsi sebagai kawasan R&R bagi mereka yang berulang-alik dari Mekah dan Madinah terutamanya bagi jemaah haji. Oh ya apa signifikannya tempat yang bernama Ghadir ini?

.

Signifikannya adalah kerana di tempat inilah Rasulullah S.A.W, ketikamana Baginda baru balik dari mengerjakan Haji Wida, telah melafazkan hadith yang berikut.

من كنت مولاه فعـلي مولاه، اللهمّ وال من والاه وعاد من عاداه

Barangsiapa yang menjadikan aku Mawlanya, maka Ali adalah Mawlanya. Ya Allah, tolonglah orang yang menolongnya, dan musuhi orang yang memusuhinya.

(Shahih Bukhari dan beberapa versi dalam senarai kitab berikut: 1. Shahih Muslim, jilid 4/1873, Dar Fikr, Bairut. 2. Shahih Tirmidzi, jilid 5, halaman 297, hadis ke 3797. Dan lain-lagi…lebih daripada 70 kesemuanya)

.

Hurm ada terbau sesuatu yang ikan? (Smell something fishy?)

.

Patut pun pihak DBP membatalkan pementasan Kopitiam Ghadir di saat-saat akhir. Rupanya-rupanya tajuk yang diletakkan (maaf, saya tidak melihat keseluruhan pementasan itu ) sudah mencadangkan isi, walaupun tidak semuanya, yang ingin dipersembahkan oleh saudara FT.

.

Tetapi bukanlah tujuan saya menulis ini ingin menyanggah apa-apa ideologi saudara FT sekiranya saudara FT hanya berniat baik untuk menyebarkan benda-benda bermanfaat seperti nilai-nilai islam yang murni itu sendiri. Saya pun tidak ingin menyanggah mana-mana individu yang ingin melihat pementasan tersebut demi semangat persaudaraan islam yang diikat dengan akidah keesaan Allah S.W.T.

.

Cumanya, saya rasa saya perlu untuk saya berkongsi sedikit maklumat mengenai apa itu Ghadir dan isunya dalam sejarah islam dengan orang ramai. Kenapa tidak, bukan? Sekurang-kurangnya isu ini diambil tahu oleh orang ramai.

.

Namun disebabkan saya sedar bahawa diri ini masih lagi bertatih dalam mempelajari ilmu-ilmu berkaitan agama maka cukuplah sekadar saya menawarkan link-link untuk dikunjungi sesiapa yang berminat bagi mendapatkan sedikit info mengenai kejadian yang berlaku di Ghadir.

.

Pesan saya, bacalah dan fahamilah setiap hujah yang dikemukakan dan dari situ carilah kebenaran yang terselit padanya. InsyaAllah, jika rajin berusaha ia pasti akan muncul. Bagi yang sudah membeli tiket pementasan, saya amat-amat galakkan untuk membuat sedikit kajian mengenai Ghadir. Saya yakin, RM 10 yang anda laburkan pasti member pulangan yang lebih lumayan.

.

Apa itu Ghadir?

http://en.wikipedia.org/wiki/Ghadir_Khumm

Ghadir dari perspektif ASWJ

http://www.ahlelbayt.com/articles/rebuttals/ghadir-khumm

http://209.85.229.132/search?q=cache:oUfgLAwxXAQJ:islamic-creed.com/Mufti%2520Ebrahim%2520Desai%2520Saab%2520(South%2520Africa)%2520Faatawa%27s%2520On%2520Rafidah%2520(Shia)/SUNNI%2520and%2520SHIA%2520point%2520of%2520view%2520on%2520Ghadir-e-Khum%2520Incident.doc+ghadir+sunni&cd=12&hl=en&ct=clnk&gl=ie&client=firefox-a

Ghadir dari perspektif Ahlul-Bait

http://www.al-islam.org/ghadir/books.htm

http://www.najaf.org/english/book/20/4.htm

.

P/s: ilmu agama lebih baik kalau dituntut melalui lisan. Maka, kalau ada peluang masa dan kesempatan, carilah orang yang lebih alim untuk bertanya…Wallahualam.

Asri - pemergiannya dan satu leteran kesihatan…

“Setiap insan pastikan merasa,
Saat perpisahan terakhir,
Dunia yang fana akan ditinggalkan,
Hanya amalan yang akan d
ibawa.”

-Asri, Rabbani

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini ramai pula para artis yang dilaporkan oleh akhbar meninggal dunia. Kalau dulu Yasmin Ahmad, kini giliran Param pula. Sapa yang tidak kenal Param kalau bukan seorang pelawak yang terkenal dengan celotehnya apabila bergandingan dengan A.R.Badul dan R. Jaafar ketika menghiasi pentas lawak negara pada era 90-an.

.

Tetapi berita kematian yang paling menyentuh hati saya ialah permergian Allahyarham Asri yang merupakan vokalis utama kepada kumpulan Rabbani.

Terima Kasih Ustaz Asri

Terima Kasih Ustaz Asri

Terus terang saya katakan, saya tidak pernah mengenali Allahyarham secara bersemuka apatah lagi menjalinkan hubungan akrab dengan beliau.

.

Tapi, saya mengenali Allahyarham melalui usaha beliau menyampaikan mesej-mesej Islam melalui nasyid. Lagu-lagu beliau yang selalu kedengaran di corong radio IKIM.FM bagi saya amat menyentuh hati dan mempunyai inti yang berharga untuk dihayati dan diteladani. Sebagai contoh, lirik karya beliau yang berjudul Pergi Tak Kembali masih lagi melekat kuat di minda kerana lagu itu pernah saya dendangkan dalam sebuah pertandingan nasyid di sekolah satu masa dahulu.

.

Melalui Rabbani, usaha Allahyarham juga telah berjasa merubah wajah industri seni tanah air. Bersama Raihan, Hijjaz dan lain-lain kumpulan nasyid awwalun, Allahyarham telah memulakan trend dalam menyediakan alternatif berunsur islamik dalam bidang hiburan.

.

Kesannya kemudian, mucullah kumpulan pelapis generasi seterusnya yang telah mengimarahkan pesta seni tanahair walaupun tidak dinafikan, entah kenapa, ada sesetengah karya yang secara umumnya dirasakan tersasar dari objektif nasyid itu sendiri. Seolah-olah, aspirasi Allahyarham telah luput daripada generasi pelapis ini.

.

Walaubagaimanapun, hakikatnya Allahyarham kini sudah tiada lagi meninggalkan kita. Namun begitu, jasa dan pengorbanan tidak semestinya pergi dari ingatan kita semua. Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

……………………………………………………………………………………………………………….

Nanti, sebelum menghabiskan coretan saya pada post kali ini, saya ingin mengulas apa yang saya perhatikan adalah satu trend yang agak membimbangkan. Terdapat satu persamaan terhadap dalam setiap laporan kematian artis yang saya baca. Iaitu kematian Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Param dan Allahyarham Asri semuanya disebabkan oleh serangan jantung.

.

Walaupun etiologi (penyebab ) kepada serangan jantung boleh disenaraikan satu-persatu dalam satu senarai yang panjang, saya merasakan masalah jantung berkait rapat dengan masalah kesihatan rakyat malaysia.

.

Mungkin gaya hidup, pemakanan, ataupun kurangnya kesedaran mengenai penjagaan kesihatan sendiri menjadikan masalah yang berkaitan dengan kardiovaskular merupakan pembunuh nombor satu negara.

.

Bagi saya, walaupun artis selalu dikaitkan dengan gaya hidup yang penuh dengan stress, masyarakat tidak boleh mengambil masalah ini sambil lewa dan menyangka bahawa mereka terlindung daripadanya tanpa perlu mengambil inisiatif sendiri menjaga kesihatan masing-masing.

.

Saya yakin, pihak berwajib telahpun melakukan tindakan yang sepatutnya dalam menasihati masyarakat mengenai kepentingan hal ini, hasil daripada pemerhatian timbunan-timbunan kertas kerja berkaitan dengan kempen kesihatan di sebuah hospital di Selangor satu masa dahulu.

.

Tapi, sepertimana yang diberitahu kepada saya oleh seorang pegawai kesihatan semasa membuat attachment di Hospital Kubang Kerian 3 tahun lepas.

.

“Boleh je kami nak tampal poster dan letih pusing satu kampung buat health checkup. Tapi, kalau diri sendiri tak peduli nak buat macamana.”

.

Hurm…Satu perkongsian yang menarik saya kira.