JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for July, 2009


WABAK…(part 1)

“Nak, tolong nak bagi mak cik ubat. Mak cik sakit. Anak mak cik ada 6 orang. Kalau mak cik mati siapalah yang akan jaga anak mak cik nanti.”

.

“Tapi…”

.

“Doktor tolong saya doktor. Saya lagi memerlukan ubat itu. Saya CEO syarikat besar kalau saya mati habis leburlah harta saya.”

.

“Nanti, Doktor. Bantu saya dulu doktor. Saya pelajar cemerlang di universiti. Masih muda lagi untuk mati…tolong saya doktor.” Tempik suara satu lagi sedikit lembut.

.

Aku berada di dalam dilemma. Tidak tahu hendak merawat pesakit yang mana satu. Semuanya memiliki simptom yang sama dan menghidapi penyakit yang sama iaitu selsema kambing. Tetapi bekalan ubat tamiflu yang aku miliki tidak banyak. Orang ramai yang sejak pagi tadi berkerumun di luar pejabat ku mula sudah hilang sabar. Mereka mula berasa-asak untuk bertemu dan mendapatkan rawatan dariku.

.

“Nanti, nanti…sabar. Jangan tolak-tolak. Saya tolong semua. Semua tidak perlu…”

.

Prang…pintu pejabat ku ranap dirempuh oleh segerombolan pesakit yang begitu terdesak. Habis pejabatku diserbu oleh mereka. Semua barangku disondol-sondol ke tepi. Almariku dibuka, diselongkar dan diselerakkan. Kabinet-kabinet file ditumbangkan dan tong sampah digasak sehabis mungkin. Semua orang berpusu-pusu, berebut-rebut dan berasak-asak untuk mendapatkan ubat dari pejabatku.

Permintaan untuk ubat ini semakin meningkat

Permintaan untuk ubat ini semakin meningkat

Aku tidak dapat berbuat apa. Daripada merempuh lebih baik aku bangun dan mengundur kebelakang untuk menyelamatkan diri. Sedikit demi sedikit aku disesarkan ke satu penjuru. Akhirnya aku terperangkap dan tidak dapat berbuat apa-apa selain membiarkan mereka menggila mencari apa yang mereka mahu.

.

Melalui tingkap pula aku dapat mengintai keadaan diluar yang kelihatan sudah tidak terkawal lagi. Suasana di dalam hospital laksana penjara yang terlepas banduan. Orang ramai mula kelihatan menyerbu masuk setiap bilik yang terdapat di hospital ini. Peralatan-peralatan hospital yang didapati menghalang perjalanan mereka semuanya dihumban melata.

.

Terasa sadis juga apabila aku melihat beberapa orang jururawat yang cuba melarikan diri terperangkap di tengah-tengah asakan orang ramai.Ada yang menjerit kesakitan akibat dihimpit-himpit dan ada juga diantara mereka yang jatuh tidak bangun-bangun lagi. Ada yang memandangku sambil melemparkan pandangan sayu seolah-olah meminta bantuanku. Tapi, apakan daya. Aku pun turut berada dalam situasi yang sama.

.

Terperangkap ditengah-tengah lautan manusia yang terdesak.

(TO BE CONTINUED)

Yasmin Ahmad

.

Seni adalah ekspresi semulajadi indah yang lahir dari sisi kreatif manusia yang tertentu. Ramai orang akan terpegun apabila melihat keindahan seni tetapi tidak ramai yang mampu berseni. Seni itu juga adalah satu anugerah. Satu nikmat yang sekiranya digunakan pada jalan yang betul boleh mengajak massa kepada pembaikan.

…………………………………………………………………………………………………………………………

Yasmin Ahmad adalah salah seorang insan terpilih tersebut. Beliau dikurniakan bakat untuk berseni yang khusus dalam bidang bikinan iklan komersil dan filem. Kalau berbondong anugerah yang dimenanginya tidak membuatkan beliau dikenali maka cukup sahaja dengan menyatakan iklan komersil Petronas pasti namanya lantas terputik di minda.

.

Saya pun pada awalnya tidak mengenali sangat insan yang bernama Yasmin Ahmad ini. Tetapi, entah kenapa hati saya tergerak untuk mencari pembikin iklan komersil Petronas bejudul “Ombak Jahat” sebaik sahaja terkesan melihatnya di kaca TV 5 tahun yang lalu. Dari situlah, internet telah menemukan saya dengan Yasmin Ahmad.

.

Tetapi, bukanlah maklumat peribadi beliau yang ingin saya cari tetapi saya ingin mengenalpasti apakah sentuhan-sentuhan yang diterapkan beliau dalam karyanya.

.

Semua ini dilakukan dengan satu harapan agar hasil kerja beliau boleh menjadi salah satu rujukan kepada saya dalam mencari jalan dalam menyentuh hati-hati manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun fikrah.

.

Saya juga ada mengikuti beberapa karya beliau selain daripada karya dalam bidang iklan komersil seperti filem Sepet dan Gubra.

.

Dengar tajuknya sahaja mungkin membuat sesetengah orang berasa pelik tetapi apa yang lagi pelik ialah saya tidak percaya bahawa filem-filem tersebut dibikin oleh seorang sutradara melayu. Sudahlah lain daripada yang lain, filem beliau juga sangat bermutu.

.

Untuk Sepet, itulah kali pertama saya menonton filem melayu yang sifar lawak berlebihan (baca: tak tentu hala), tanpa bahasa yang tidak kena tempat, plot yang tidak bercelaru, tidak membosankan dan macam tak percaya membuatkan saya duduk termenung sebentar memahami mesej yang dibawanya.

.

Walapun saya akui keseluruhan tema yang dibawa oleh Yasmin Ahmad dalam filem Sepet agak kontroversial tetapi garapan plot yang kemas selain pemilihan pelakon yang berkaliber telah menyebabkan nilai nampak filemnya mengatasi kritikan masyarakat terhadap tema filemnya.

.

Ini merupakan sesuatu yang baru kerana rata-rata filem melayu yang lain pada masa itu terpaksa menanggung derita kritikan terhadap mutu perfileman dahulu sebelum isi yang cuba dibawanya dinilai.

.

Bagi saya inilah sumbangan dalam bentuk revolusi yang berjaya dilakukan Yasmin Ahmad terhadap industri seni perfileman tanah air. Semua filem beliau, walaupun membawa tema yang berlainan, pasti membawa 2 trademarks. Controversial but worth watching.

.

Namun segala ketentuan telahpun ditetapkan oleh Allah. Nikmat seni merupakan milik Allah, Dia yang memberi maka dia jualah yang berhak mengambilnya semula. Umur Yasmin Ahmad tidak lama. Semalam, ketika umurnya 47 tahun, beliau telah dipanggil untuk menghadap Ilahi.

.

Bagi saya kehilangan beliau tetap akan dirasa kerana ramai orang akan terpegun apabila melihat keindahan seni tetapi tidak ramai yang mampu berseni. Pemergian Yasmin Ahmad merupakan satu yang pasti tetapi legasi yang ditinggalkan beliau akan terus dikaji.

.

Akhir sekali, serahkanlah segala urusan seterusnya kepada Allah dan bersamalah kita berharap agar ruhnya dicucuri rahmat dan dosa-dosanya diampunkan. Al-Fatihah.

Tenaga nuclear bukanlah satu isu yang baru diperkatakan. Sejak penggunaannya yang meluas pada lewat era 40-an, tenaga nuclear telah digunakan untuk berbagai tujuan. Namun, tindakan Amerika Syarikat menggugurkan sebutir bom atom di Hiroshima yang meragut 100,000 nyawa telah menyebabkan penggunaan tenaga nuclear selalu dikaitkan dengan peperangan dan kemusnahan.

Tetapi, penggunaan tenaga nuclear tidak seharusnya diterhadkan untuk tujuan peperangan sahaja. Kelebihan lain yang dimiliki melalui penggunaan tenaga nuclear harus diambil kira terutamanya sebagai salah satu sumber alternatif bagi menggantikan sumber bahan api fosil dalam penjanaan tenaga elektrik pada masa hadapan.

Hubungkait tenaga nuklear dengan kemaslahatan umat.

Menurut perangkaan TNB, tenaga fosil negara yang terdiri daripada minyak, arang batu, dan gas asli akan habis digunakan dalam masa 25 tahun. Hal ini bermakna negara hanya mampu untuk menjana tenaga elektrik untuk isi rumah menggunakan sumber tenaga tersebut sehingga tahun 2035. Selepas daripada tempoh tersebut, sekiranya kerajaan gagal mengenalpasti sumber tenaga yang baru maka negara bakal berdepan dengan krisis tenaga yang besar.

Oleh itu, pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk berkongsi kepakaran Perancis dalam membangunkan teknologi tenaga nuclear harus disambut baik oleh masyarakat.

Diantara manfaat tenaga yang dihasilkan oleh tindakbalas nuklear ialah ianya lebih efisyen dalam penukaran ke tenaga elektrik yang seterusnya membawa kepada kemungkinan untuk kadar tariff yang rendah. Malah, kuantiti bahan bakar yang diperlukan untuk menjana jumlah tenaga yang sama jauh lebih sedikit berbanding bahan bakar fosil yang lain.

Tenaga nuklear juga mempunyai kelebihan dari segi mesra alam kerana tindakbalas pelakuran atom yang dilakukan untuk mendapatkan tenaga tidak menghasilkan sebarang pencemaran gas hijau kecuali sinaran radioaktif yang boleh diserap melalui pembinaan perisai grafit yang mengelilingi reaktor dimana proses pelakuran tersebut berlaku.

.

.

Risiko tenaga Nuklear.

Namun begitu, penggunaan tenaga nuklear masih mempunyai risikonya yang tersendiri. Sekiranya berlaku kemalangan yang tidak diingini, debu-debu radioaktif yang terbebas boleh membahayakan kesihatan penduduk sekitar sepertimana yang telah berlaku di Chernobyl pada tahun 1986.

Kemalangan di Chernobyl disebabkan oleh kegagalan sistem penyejuk yang menyebabkan salah satu reaktor nuklearnyamelebur dan melepaskan beribu-ribu tan bahan radioaktif ke udara. Berpuluh-puluh pekerja loji nuclear Chernobyl menjadi korban akibat sinaran radioaktif secara terus manakala beratus-ribu penduduk sekitar terpaksa meninggalkan rumah masing-masing bagi dipindahkkan ke kawasan yang selamat.

Malah, tragedi di Chernobyl juga memberi impak jangka panjang kepada kesihatan penduduk sekitar kerana sisa-sisa bahan radioaktif yang masih melekat pada mangsa yang terselamat boleh menyebabkan kanser bukan sahaja kepada diri mangsa sendiri tetapi juga kepada anak-anak dan orang yang berdekatan dengan mereka.

.

.

Penyelesaian.

Namun begitu, risiko ini boleh dikawal seminimum mungkin sekiranya persediaan rapi dibuat sebelum sebarang tindakan diambil untuk membina loji tenaga nuclear. Aspek latihan dan praktikal perlu ditekankan bagi menghasilkan jurutera pengendali tempatan yang pakar.

Pemindahan teknologi secara sistematik pula harus dilaksanakan bagi memastikan negara betul-betul mempunyai kemahiran untuk mengendalikan loji nuklear.

Persiapan juga harus dilakukan seawal mungkin kerana masa yang diperlukan untuk membangunkan teknologi nuklear yang matang umumnya panjang iaitu kira-kira 10-15 tahun.

Justeru, keputusan pihak berkuasa untuk memulakan inisiatif dalam membangunkan tenaga nuklear sekarang harus dinilai sebagai sesuatu yang bijak berdasarkan kepada prospek bahan api negara yang bakal kehausan dalam jangka masa terdekat.

Persiapan ini juga dianjurkan dalam islam khususnya apabila ia melibatkan survivability umat. Al-quran ada menyebut:

Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah...”(Al-Anfal:60)

.

.

Kesimpulan.

Kesimpulannya, walaupun teknologi tenaga nuklear mempunyai risikonya yang tersendiri, kelebihan yang dimiliki jauh mengatasi risiko sekiranya keperluan pada masa hadapan diambil kira.

Justeru umat islam tidak seharusnya bimbang dan ketinggalan dalam menguasai ilmu nuklear kerana ia merupakan sesuatu yang penting dalam menentukan kelangsungan umat pada masa hadapan. Persoalannya sekarang apakah kita merasa perlu untuk menimbanya? Wallahua’alam…

Rujukan:

1.Nuklear sebagai sumber alternative, Utusan Malaysia, 30/06/2009

2.Tenaga Nuklear: Perancis sedia bantu Malaysia, Utusan Malaysia, 1/07/2009

3.Berol Robinson, The Benefits of Nuclear Energy, www.ecolo.com

4.en.wikipedia.org/wiki/Chernobyl_disaster

Kedai Pak Lang, Saya dan Emak

“Mak nak pergi ke kedai Pak Lang nih kamu nak ikut tak?” ajak mak kepada saya pagi tadi. Saya yang baru sahaja bangun daripada tidur mendengar ajakan tersebut yang sayup-sayup menerjah ke telinga. Berat pula rasanye ingin mengangkat kepala daripada bantal. Keletihan memandu pun masih lagi belum hilang dari badan. Tapi disebabkan yang mengajak itu seorang insan yang mulia saya gagahkan juga badan untuk turun dari katil.

“Mak nak masak ape hari ini?” Tanya saya kepada emak. Mesti ada sebab mak nak ke kedai Pak Lang pagi ini. Samada mak nak masak masakan tengahari yang spesel ataupun…

“Mak ada buat potluck dengan kawan-kawan mak lagi ke?”

Konspirasi Potluck diantara emak dan rakan-rakannya

Konspirasi Potluck diantara emak dan rakan-rakannya

“Takdelah. Hari ini mak ingat nak buat ikan keli masak sambal dan kacang buncis goreng. Kamu kan suka makan ikan keli.” Jawab emak sambil tersenyum.

“Eh…susah-susah je mak nih.” Saya membalas kembali berpura-pura sopan walaupun dalam hati bersyukur dapat makan sedap lagi hari ini.

Selesai mandi saya pun mengikut emak ke kedai Pak Lang. Selalunya saya akan drive tetapi disebabkan saya lewat bersiap emak sudahpun menghidupkan enjin dahulu. 10 minit kami pun sampai ke Kedai Pak Lang.

Kedai Pak Lang merupakan kedai favourite emak. Kedai ini diusahakan Pak Lang yang merupakan orang yang cukup dikenali di kalangan penduduk Puchong. Kedai beliau merupakan tumpuan suri rumah yang ingin mencari bahan masakan untuk dibuat lauk pauk.

Emak suka ke Kedai Pak Lang. Bukannya ape semua yang nak dibeli pasti ada. Ikan segar, rempah ratus, sayuran, daging malah buah-buahan tempatan pun ada di kedai Pak Lang. Senang dan mudah. Kalau emak nak masak kari, tak perlu emak untuk, katakan, pergi ke dua kedai yang berlainan. Satu untuk beli serbuk kari manakala satu lagi pula untuk mencari santan.

Selalunya kalau ikut emak membeli-belah saya selalunya akan jadi pekerja kontrak yang tidak berbayar kepada emak. Sampai sahaja di kedai saya akan terus ditauliahkan dengan sebuah bakul. Kerja saya mudah sahaja. Membantu emak memasukkan barang yang telah dipilih kedalam bakul untuk dibuat pembayaran sebentar lagi. Untuk itu, kemana sahaja emak pergi saya ‘terpaksa’ mengekori beliau.

“Kamu rasa elok tak ikan ini” Tanya emak kepada saya sambil tangannya membelek dan memicit seekor ikan bawal.

“Erm…cuba mak tengok matanye dah berdarah ke belum” Jawap saya yang kadangkala menjadi tempat untuk emak mencari second opinion. Sebenarnya, emak tak perlu pun tanya soalan tu kerana emak lebih berpengalaman dalam hal ini tapi, mungkin dengan meminta pandangan saya emak membuka ruang untuk kami berkomunikasi. Maybe.

Masa saya berada di kedai Pak Lang pula bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Emak. Itupun bergantung kepada jenis masakan yang ingin dibuatnya. Kalau masakannya jenis yang susah nak dibuat maka emak akan meluangkan masa lebih lama untuk mencari bahan-bahan yang terbaik. Kalau setakat nak masak sayur-sayuran biasa 15 minit sudah cukup untuk urusan beli-belah dan saya boleh kembali ke rumah lebih cepat.

Sebenarnya seronok juga menemani emak pergi membeli-belah. Takdelah saya asyik terperap saje di rumah buat hal sendiri. Sambil-sambil itu boleh juga saya lihat cara orang melayu berniaga dan belajar apakah jenis perniagaan dan target customer yang membolehkan perniagaan orang melayu berkembang. Bak kata Tun Mahathir apabila menyentuh potensi yang ada pada orang melayu dalam berniaga.

“Saya sendiri pernah pun berniaga di PekanRabu tapi jadi PM”

Tun Mahathir pernah berniaga di sini

Tun Mahathir pernah berniaga di sini

Pengajarannya: Melayu boleh berjaya sampai jadi PM yang hebat walaupun berlatarbelakangkan peniaga.

Selepas emak berpuashati dengan barang-barang yang dipilihnya, saya akan membawa bakul yang berisi barang-barang tersbut ke kaunter pembayaran. Usai sahaja urusan pembayaran, saya menuju ke kereta semula untuk memasukkannya ke dalam bonet.

“Nak minum apa-apa tak. Emak belanja”. Tanya emak apabila kami melintasi gerai menjual air minuman ketika menuju ke kereta.

“Erm…boleh juga. Air soya satu”. Pinta saya sambil mengibas baju bagi membebaskan haba yang terperangkap didalamnya. Setelah puas menghilangkan dahaga, saya membantu emak memasukkan barang-barang ke dalam bonet kereta. Selesai, kami pula yang memasuki kereta.

Kali ini saya pula yang menjadi driver. Sepanjang perjalanan pulang sempat juga saya bersembang dengan emak. Walaupun perkara yang disembangkan hanya perkara-perkara yang kecil tetapi saya rasa seronok dapat bertukar fikiran dengan emak. Harapnya emak pun begitu.

Selang beberapa minit kemudian kami pun sampai ke perkarangan rumah. Emak pun membuka pintu untuk keluar.

“Mak pinjam kereta petang nih boleh, nak pergi err…usrah” Saya cuba minta izin dengan hujung ayat sedikit diperlahankan.

“Boleh” jawab emak spontan, sambil tersenyum. Alhamdulillah, selesai satu perkara. Nasib baik emak tak banyak tanya. Kalau tak ligatlah kepala saya mencari seribu satu jawapan dan mungkin mencipta alasan.

“Tapi,” Emak tiba-tiba bersuara. Saya yang baru keluar dan cuba mengeluarkan barang dari belakang kereta menoleh sehingga kepala hampir terhantuk daun pintu kereta.

“Kena hantar mak pergi sekolah dulu, Boleh?”

“Of course”. Jawab saya dalam hati sambil tersenyum.

Dasar-Dasar Hidup Cara Islam

Artikel berikut telah keluar dalam tazkirah Jumaat minggu ini untuk PPIMI (Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland)

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Apabila seseorang itu mengangkat syahadah ini bermakna dia telah mengakui bahawa Allah itu sebagai tuhan yang wajib disembah. Dia juga turut mengakui bahawa syariat Islam itu benar dan bersedia untuk menuruti segala apa yang telah disyariatkan. Tetapi, kehidupan seseorang itu belum-belum lagi lengkap sebagai seorang muslim apabila cara hidup yang diamalkan tidak selari dengan apa yang disyariatkan apatah lagi sekiranya ia bertentangan.

Untuk itu, Abu Urwah dalam bukunya Risalah Usrah Jilid pertama telah menerangkan 5 prinsip utama yang mendasari konsep hidup mengikut tuntas Islam.

Dalam terbitan kali ini, penulis akan cuba membincangkan apakah lima prinsip tersebut beserta dengan sedikit huraian ringkas.

Prinsip 1: Allah adalah pencipta

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh setiap insan yang ingin mempraktiskan cara hidup islam ialah memperakui bahawa Allah itu adalah pemilik, penguasa dan pencipta alam semesta ini. Mereka juga harus menyedari bahawa datangnya mereka ke atas dunia ini adalah hasil daripada kekuasaan dan kehendak-Nya diatas beberapa tujuan.

Antaranya ialah sebagai abid yang sentiasa beribadah kepadanya.

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku(Ad-Dzariyat: 56)

Mereka juga perlu menyedari bahawa diri mereka telah dikurniakan akal yang boleh digunakan untuk membezakan diantara haq dan batil. Malah mereka juga dikurniakakn kebebasan untuk membuat pilihan serta memanipulasi sumber alam ini mengikut kemampuannya.

Prinsip 2: Peranan kita sebagai khalifah di muka bumi.

Sekiranya manusia memilih untuk menjalani hidup ini berdasarkan cara hidup islam maka ada perlunya untuk mereka mengetahui bahawa dibahu mereka tergalas beban sebagai seorang khalifah.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”...” (Al-Baqarah: 30)

Prinsip khalifah dalam konteks ini bermaksud menggunakan segala kemampuan akal mahupun fizikal dalam memakmurkan bumi ini tanpa sekali-kali bercanggah dengan konteks islam. Manusia diizinkan malah amat-amat digalakkan untuk membentuk dan memajukan diri serta persekitaran mereka selagi mana ia tidak melanggar syariat islam. Selain itu, mereka juga diseru untuk mengambil hikmah diatas segala ciptaan Allah.

Prof Salam. Permata NUklear umat islam

Prinsip 3: Perlunya mengikut Sunnah yang benar

Namun begitu menyedari bahawa tanggungjawab sebagai khalifah sahaja mungkin masih lagi belum memadai. Manusia perlu kepada contoh visual yang boleh dijadikan panduan secara terus mengenai bagaimana mendepani cabaran hidup ini apabila memilih untuk melaluinya cara islam.

Justeru, Allah S.W.T telah mengutuskan nabi dan rasul untuk tujuan tersebut. Mereka diutuskan pada zaman-zaman tertentu sesuai dengan keperluan pada zaman tersebut bermula daripada Adam A.S sehinggalah kepada kewafatan Rasulullah S.A.W. Tetapi, persoalannya, apakah kewafatan Rasulullah S.A.W bermakna tiada lagi individu yang boleh dijadikan contoh untuk dijadikan ikutan?

Jawapannya semestinya idak, hal ini kerana hasil usaha gigih para muhaditthin, sunnah Baginda terus terpelihara dan masih lagi relevan untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan cara islam pada zaman moden ini.

Prinsip 4: Dakwah dalam membiakkan kemajuan secara majmuk

Prinsip seterusnya ialah manusia diperintahkan beriman kepada Rasulullah S.A.W dan juga dituntut untuk menyebarkan risalah yang dibawa Baginda. Melalui prinsip dakwah ini, mereka diseru untuk membawa manusia yang tersilap memilih jalan hidup kembali kepada jalan yang benar. Prinsip ini penting bagi manusia yang memilih untuk hidup cara islam kerana mereka dituntut bukan sahaja memajukan dirinya sendiri tetapi mestilah membangunkan keseluruhan masyarakatnya mengikut ajaran sebenar yang satu-satunya dibawa oleh Baginda S.A.W.

Prinsip 5: Konsep Mati dan Hisab

Akhir sekali, prinsip kematian apabila tiba masanya. Prinsip ini amat penting bagi mereka yang bercita-cita untuk menjalani hidup ini cara islam berdasarkan kepada 2 realiti. Realiti pertama ialah mati itu suatu yang pasti berlaku dan realiti yang kedua ialah setiap manusia pasti akan dihisab di akhirat kelak.

Meyakini prinsip ini akan membuatkan manusia sentiasa berhati-hati dalam setiap perlakuannya. Mereka juga akan sentiasa merasa bahawa diri mereka sentiasa diawasi dalam setiap tindak tanduk mereka . Sifat ihsan akan tertancap kuat di hati mereka sehinggakan istighfar sentiasa menjadi basahan lidah mereka kerana khuatir setiap apa yang dilakukan mungkin boleh menjejaskan saham akhirat mereka.

Semua ini dilakukan kerana pada hari hisab kelak, apa yang diputuskan kepada mereka bakal menjadi nasib yang kekal untuk selama-lamanya.

Begitulah 5 prinsip ataupun dasar yang telahpun ditulis oleh Abu Urwah mengenai apa yang beliau kenalpasti sebagai Dasar-dasar Asasi Cara Hidup Islam dalam bukunya Risalah Usrah. Diharap pembaca semua dapat mengambil hikmah daripada apa yang telah ditulis untuk penulisan tazkirah minggu ini. Semoga kehidupan seharian kita sebagai muslim bertambah baik dari hari ke hari. Wallahu A’alam.

Sumber rujukan:

Abu Urwah (1988), Risalah Usrah Bahagian 1 (Konsep-Konsep Umum Islam), Pustaka Salam, Kuala Lumpur.