Saya dan Sejarah…
Sempena dengan musim cuti sekolah err… silap summer yang akan datang ini saya berharap saya dapat buat satu perkara yang saya minat iaitu memberi pembentangan mengenai sejarah. Saya sebenarnya jarang bercakap di khalayak ramai tentang apa-apa subjek apatah lagi mengenai sejarah. Cuma saya rasa subjek sejarah ini amat penting untuk disuburkan minatnya dalam masyarakat kerana tanpa sejarah, amat sukar untuk kita memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari ini.
Bagi saya sejarah bukanlah hanya kajian mengenai peristiwa-peristiwa yang telah berlaku semata-mata. Walaupun pada hakikatnya itu yang menjadi fokus dalam kebanyakan silibus pengajian di pelbagai peringkat pengajian daripada sekolah hinggalah ke menara gading, sejarah harus dilihat lebih daripada itu.
Subjek sejarah harus diambil serius.
Ia harus menjadi cermin masa yang mendidik diri agar sentiasa berwaspada supaya tidak mengulangi kesilapan masyarakat-masyarakat terdahulu yang membawa kepada tercetusnya peristiwa-peristiwa hitam. Ingatkah lagi kita akan peristiwa 13 Mei?
Peristiwa-peristiwa ini dan yang sewaktu dengannya boleh diulang ajar dan diberitahu berkali-kali di sekolah ataupun mana-mana pusat pengajian. Namun apa yang penting ialah masyarakat sedar untuk mengambil iktibar dan terdorong untuk menjauhi tindakan yang boleh membawa kepada berulangnya peristiwa-peristiwa tersebut.
Saya juga suka untuk menekankan bahawa sejarah juga boleh berperanan dalam membantu kita untuk memahami situasi pada hari ini. Kita tidak perlu pergi jauh dengan mengambil situasi politik tanah air sebagai contoh sebaliknya sudah cukup untuk kita melihat kepada diri kita sendiri.
Suasana kita membesar sebenarnya banyak mempengaruhi dalam membentuk peribadi diri kita sekarang. Apa yang kita alami dari kecil sehingga kini sedikit sebanyak bertindak sebagai acuan yang menentukan tindak-tanduk kita. Sudah tentu lain peribadi, persepsi dan psikologi seseorang yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang porak poranda jika hendak dibandingkan dengan seseorang yang dibesarkan dalam keluarga harmoni. Walaupun ini tidak seharusnya menjadi the rule of thumb tetapi secara umumnya ia begitu.
Kanak-kanak yang sering didera oleh ibubapanya lebih cenderung untuk memiliki naluri memberontak.
Kanak-kanak yang dibesarkan dengan kasih sayang pula majoritinya lebih cenderung untuk menghargai individu-individu disekelilingnya.
Untuk mendapat gambaran dengan lebih jelas lagi, seseorang itu boleh dianalogikan sebagai satu resepi masakan manakala kisah silamnya pula ialah bahan-bahan masakan yang digunakan. Pahit manisnya sesuatu masakan tersebut bergantung kepada jenis dan banyak mana bahan masakan yang digunakan. Jika banyak bahan-bahan pahit yang dimasukkan, jadi pahitlah ia dan begitu juga sebaliknya.
Mungkin ungkapan banyak makan garam yang sering dituturkan oleh orang kita ada kaitannya dengan analogi diatas.
Dalam erti kata lain, untuk memahami seseorang manusia itu pada masa ini, ianya amat membantu sekiranya kita mengetahui kisah silam yang mencorakkannya.
Dan dari sini juga kita dapat melihat kaitan diantara sejarah dan dakwah.
Sejarah boleh berperanan sebagai alat sokongan untuk menyampaikan dakwah. Ia bukanlah perkara baru yang direka-reka (bid’ah?) sebaliknya ia merupakan satu keperluan semulajadi selain daripada keperluan untuk memahami individu yang ingin didakwahkan.
Ikatan antara sejarah dengan dakwah tidak boleh dileraikan. Sejarah atau Sirah dalam konteks dakwah mengandungi kisah-kisah yang boleh dijadikan bekalan sumber inspirasi ataupun cara bergerak kepada pendakwah dalam menjalankan kerjanya.
Sebagai contoh, kisah ketekunan Saad Ibn Waqas dalam menyampaikan dakwah ke China seharusnya menjadi inspirasi kepada mereka yang merasakan dakwah mereka terhalang dengan keterbatasan komunikasi.
Sejarah juga telah memperlihatkan ketegasan pendirian Ibnu Taimiyyah dalam menentang unsur-unsur bidaah yang hebat menular dalam masyarakat beliau pada ketika itu. Walaupun ditentang oleh golongan sufi yang mengucapkan kalimah haq yang sama, Ibn Taiymiyah mempertontonkan sifat yang harus dimiliki oleh seorang mujadid dimana dia haruslah tegas, berani dan tidak berkompromi apabila berhadapan dengan isu inovasi ‘dhalalah’ dalam beragama serta dalam perkara-perkara lain yang salah.
Pendakwah juga mungkin boleh mempelajari punca-punca yang boleh membawa kepada kelemahan umat islam melalui sejarah. Sebagai contoh mereka mungkin boleh mengambil iktibar daripada kejatuhan empayar Abbasiyyah dimana Kota Baghdad pada ketika itu dengan mudahnya ditawan dan dihancurkan oleh kaum Monggol yang secara realtifnya jauh ketinggalan dari sudut intelektual.
Pendek kata, sejarah menghimpunkan 1001 hikmah yang boleh dipelajari oleh pendakwah dalam mempersiapkan dirinya untuk berhadapan dengan 1001 masalah dalam masyarakat.
Justeru, mencabut sejarah daripadadakwah seolah-olah mencabut sebelah kaki daripada seorang individu yang sihat.
Ia menjadikan dakwah itu tempang.
Oleh itu, setiap individu perlu berasa bahawa dirinya perlu untuk sekurang-kurangnya mengambil peduli akan kepentingan sejarah. Walaupun mungkin tiada kemampuan pada dirinya untuk mempelajari sejarah dek kerana kesempitan masa mahupun kemampuan, namun perlu ada di sudut hatinya untuk menyedari bahawa mengabaikan sejarah boleh menjadikan dirinya keliru dalam memahami situasi hari ini.
Untuk itu ia menjadi sebab kenapa saya agak berminat untuk menyampaikan pembentangan mengenai subjek sejarah. Saya berharap agar tanggapan mengenai subjek ini berubah daripada hanya menjadi subjek teras yang perlu diambil untuk melepasi peperiksaan semata-mata kepada sesuatu yang boleh membawa kepada pembaikan ummah .
Namun begitu, tidaklah saya mahir dalam melakukan tugas ini. Cuma, saya merasakan ia adalah tugas yang mesti dilakukan sesuai dengan firman Allah yang diturunkan dalam kalam-Nya
“Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh tatkala mereka mendustakan rasul-rasul. Kami tenggelamkan mereka dan kami jadikan (cerita) mereka itu pelajaran bagi manusia. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang zalim azab yang pedih” (Al-Furqaan: 37)
Akhir kata, insyaAllah, sekiranya diberi peluang saya akan cuba untuk membuat pembentangan mengenai sejarah pada musim cuti ini. Andai tidak mampu atau tidak bersedia, mungkin kajian mengenai sejarah akan saya teruskan. Tapi yang paling penting, harapnya saya istiqomah dalam usaha ini….

