JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for May, 2009


Saints and Soldiers

Alhamdulillah, setelah 5 hari mengharungi exam tanpa henti, hari ini saya memperolehi short break yang amat dinanti-nantikan. Walaupun musim exam masih lagi belum tamat, tapi ruang masa 4 hari senggang sebelum kertas terakhir membolehkan saya menyegarkan semula minda yang kusut dengan fakta-fakta yang padat.

Sementara menantikan masuknya waktu asar (6.15pm) saya sempat juga menggeledah internet mencari filem menarik untuk ditonton. Cari punya cari, akhirnya tersangkut juga pada sebuah filem yang saya rasa agak menarik untuk dikongsi dan dikaji bersama. Tajuknya ialah Saints and Soldiers…

Poster Promo filem

Poster Promo filem

Saints and Soldiers ialah filem perang dunia kedua yang menceritakan sebuah kisah bagaimana sekumpulan askar Amerika yang berjaya meloloskan diri daripada dibunuh dalam tragedi Melmedy cuba untuk mencari jalan keluar apabila terperangkap di tengah-tengah kawasan musuh.

Melmedy merupakan nama sebuah pekan di Belgium dimana pada 17 Disember 1944 ramai askar-askar Amerika yang berjaya ditahan sebagai POW (Prisoners of War) telah dibunuh secara beramai-ramai oleh askar jerman.

Di pertengahan jalan, kumpulan askar tersebut terserempak dengan seorang juruterbang British yang tersangkut di pokok melalui payung terjun yang dipakainya setelah cuba untuk menyelamatkan diri dengan terjun daripada pesawatnya yang terhempas jatuh ditembak musuh.

Dalam pada masa yang sama beliau juga merupakan seorang perisik yang mempunyai maklumat paling penting dan sulit mengenai strategi pihak musuh berkaitan dengan doktrin Ardennes Offensive (sila request kalau mahu lebih detail).

Menyedari betapa pentingnya maklumat tersebut dalam meyelamatkan kemaraan askar Amerika daripada sebuan pihak musuh, mereka perlu mencari jalan penyelesaian secepat mungkin untuk menyampaikannya kepada pihak atasan. Masalahnya mampukah mereka berbuat demikian apabila terperangkap betul-betul di tengah kawasan musuh?

Maaf kalau apa yang saya tulis kali ini lain daripada stail yang selalu saya bawa. Sebenarnya saya mempunyai minat ini sejak dahulu lagi. Saya amat suka menonoton filem-filem yang memaparkan kisah-kisah yang berlaku semasa perang dunia kedua.

Banyak filem yang bergenre sebegini yang telah saya tonton termasuklah filem-filem hebat seperti Saving Private Ryan, Schindler’s List, Enemy at the Gate, Hart’s war, Pearl Harbour dan bermacam-macam lagi.

Tragedi Melmedy yang menjadi latarbelakang filem ini

Tragedi Melmedy yang menjadi latarbelakang filem ini

Bagi saya filem-filem sebegini berguna untuk ditonton kerana melalui efek-efek khas yang digunakan, pembuat filem tersebut bukan sahaja dapat menghidupkan kembali kisah-kisah sejarah yang berlaku sepanjang tempoh hitam tersebut tetapi juga dapat menunjukkan kepada masyarakat hari ini apa sebenarnya yang telah berlaku dan bagaimana ia boleh terjadi.

Daripada itu, penonton dapat sedikit sebanyak mempelajari perjalanan sejarah secara langsung dan memahami bagaimana kisah-kisah tersebut mencorak iklim dunia pada hari ini.

Baiklah, berbalik semula kepada Saints and Soldiers, skripnya adalah lebih kurang sama seperti filem The Miracle of St. Anna yang ditayangkan baru-baru ini dimana sekumpulan askar yang menyedari diri mereka terperangkap di tengah-tengah kawasan musuh perlu mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

Tetapi, filem Saints and Soldiers ini mempunyai keunikannya yang tersendiri yang tidak kedapatan dalam mana-mana filem lain yang bergenre serupa. Selalunya dalam filem yang memaparkan pertembungan diantara pihak bersekutu dan Nazi Jerman, askar Jerman biasanya akan dipaparkan sebagai sekumpulan tentera yang kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Namun, dalam filem ini pengarahnya, Ryan Little, mengambil pendirian sedikit berbeza dan neutral dimana gambaran tradisional askar Nazi Jerman dilembutkan sedikit dan tidak terlalu di ghairahkan dengan aksi pembunuhan.

Malah pengarah juga turut menyelitkan satu babak dimana salah seorang askar Jerman sendiri menunjukkan jalan keluar yang paling selamat kepada askar Amerika tersebut membolehkan mereka mengelak daripada bertembung dengan sebuah divisyen askar Jerman yang penuh berkelengkapan.

Saya begitu teruja dan tertarik dengan pendekatan pengarah ini kerana bagi saya, tiada bezanya diantara askar Jerman dan askar Amerika sewaktu konflik tersebut. Mana-mana pihak yang bertelagah masing-masing mempunyai kecenderungan untuk bertindak di luar batasan sekiranya digasak oleh satu sama lain.

Pengarah juga turut menerapkan nilai kemanusiaan yang membawa kepada persoalan hubungan semulajadi diantara askar-askar yang berperang. Baginya, secara asas tentera yang saling berperang adalah manusia biasa yang terikat dengan kontrak sosial semulajadi seperti mempunyai keinginan untuk berkenalan diantara satu sama lain .

Cuma apabila segolongan manusia ditaksubkan dengan ideology yang ekstrem (Facisme) mutual understanding tersebut lesap dan seterusnya menyebabkan segolongan manusia mula mengangkat senjata demi mempertahankan ideologi melampau tersebut dan segolongan lagi mengangkat senjata sebagai usaha untuk mempertahankan diri. Inilah asas kepada persamaan yang membawa kepada tercetusnya perang dunia kedua.

Prinsip equality between the warring combatants saya rasa disampaikan jelas oleh pengarah dalam satu dialog diantara Gould dan Deacon, dua watak utama.

GOULD: “Why do you like the krauts (the germans) so much…”
DEACON:” Cause I know them. I know most of them are just like you and me. They just wearing a different uniform…”

Selain itu, aspek keagamaan yang jarang-jarang diserapkan dalam produk Hollywood juga turut ditambah dalam filem ini. Watak Corporal Deacon, sorang Mormon, diangkat sebagai watak utama tidak seperti filem-filem lain dimana watak askar yang percaya kepada agama dijadikan watak sampingan dan selalunya sering saja dipaparkan sebagai seorang yang sangat dependant dan penakut.

Dalam filem ini, sebaliknya, watak Deacon difokuskan dan ditonjolkan sebagai seorang yang berani dan sering sahaja terkehadapan dalam menjalankan misi yang diarahkan oleh ketuanya. Apabila beliau tidak beraksi ataupun sedang berehat, beliau sentiasa dilihat membaca kitab bible kecil yang termuat di dalam poketnya.

Corporal Deacon: Watak hero pro-semitism yang difokuskan oleh pengarah

Corporal Deacon: Watak hero pro-semitism yang difokuskan oleh pengarah

Malah, dalam satu babak, beliau sendiri mengaku terlibat secara aktif dengan tugas missionary kristian. Ironinya, tempat dimana beliau diamanahkan untuk melakukan tugas dakwahnya ialah di Berlin yakni beberapa bulan sebelum perang meletus. Patutlah beliau dilihat fasih berbahasa Jerman sebaik di awal filem lagi. ( satu pengajaran untuk berdakwah dengan masyarakat; Fahami ‘bahasa’ mereka)

Setelah sedikit kajian dilakukan melalui Wikipedia baru saya faham kenapa filem ini mengangkat tema keagamaan dalam skripnya. Rupa-rupanya syarikat yang menerbitkan filem ini (Excel Entertainment Group) dimiliki oleh masyarakat Mormon sendiri.

Mormon ialah gelaran yang diberikan kepada mereka yang berkefahaman ‘The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints’, satu mazhab/jemaah dalam agama kristian. Dari segi persamaan, gerakan mereka boleh di analogikan dengan gerakan tabligh dalam islam. Masing-masingamat aktif dalam keluar berjumpa dengan masyarakat dalam membawa dakwah mereka.

Berbalik kepada filem Saints and Soldiers, pengarah juga mengetengahkan persoalan perbezaan fahaman diantara setiap individu dan bagaimana ia boleh ditangani. Dalam filem ini, persoalan tersebut ditimbulkan melalui interaksi diantara watak Deacon dan Gould. Berlainan dengan Deacon, Gould lebih bersifat skeptisme kepada agama.

Dalam satu adegan beliau mengatakan tiada kehidupan selepas kematian setelah disoal samada beliau percaya kepada kehidupan selepas kematian oleh Deacon. Malah dalam satu adegan lain, Gould juga dilihat menyindir Deacon yang pernah secara tidak sengaja membunuh satu keluarga ketika keadaan kucar-kacir dalam peperangan dengan mengatakan bahawa tindakan itu dilaknat dalam Bible.

Tetapi, Deacon membalas dengan mengatakan bahawa bagi orang yang tidak faham seperti Gould tentunya dia lebih banyak bertanya daripada berusaha untuk mencari jawapan kepada pertanyaan tersebut.

Namun begitu, walaupun berbeza dari segi kepercayaan akhirnya mereka berdua sedar bahawa perbezaan fahaman ( dalam konteks waktu itu ) sepatutnya tidak menjejaskan peluang mereka dan rakan-rakan yang lain untuk survive dalam mencari jalan keluar.

Mereka tahu perbalahan demi perbalahan hanya akan melambatkan perjalanan mereka, membuat mereka berpecah dan seterusnya menggagalkan misi utama mereka. Untuk itu, mereka perlu mengenepikan perbezaan pendapat masing-masing dan sebaliknya fokus kepada objektif yang lebih penting.

Selain Gould dan Deacon, cerita ini juga berkisar tentang beberapa watak yang tidak kurang pentingnya. Sarjan Gunderson yang membawa watak ketua bagi kumpulan tersebut digambarkan sebagai seorang yang resourceful dan berkeprihatinan.

Kendrik pula merupakan askar biasa yang kelihatan sering merendah diri tetapi berani. Beliau juga amat mahir dalam melakukan trick menggunakan daun terup.

Akhir sekali, Oberon Winley, merupakan seorang askar British yang dijumpai tersangkut dengan paying terjun apabila pesawat yang dinaikinya terhempas.

Beliaulah askar yang memiliki maklumat rahsia tersebut dan melindunginya serta memastikan maklumat tersebut sampai tepat pada waktunya kepada pihak atasan merupakan gambaran keseluruhan filem ini selain daripada usaha mengeluarkan diri daripada kawasan musuh dengan selamat. Persoalannya, adakah mereka mampu melakukannya? Anda saksikanlah sendiri!

Itu sahaja rasanya untuk penulisan saya kali ini. Walaupun agak lari sedikit daripada kebiasaan tetapi saya rasa filem ini amat menarik untuk dikongsi bersama. Pada saya janganlah kita menonton sesuatu filem tersebut hanya dengan minda yang kosong.

Tontonlah dengan teliti kerana filem juga satu bentuk bentuk hasil kajian cuma ianya bersifat lebih interaktif dan visualistik dan boleh dipersembahkan dalam perlbagai bentuk bergantung kepada kreativiti individu yang menghasilkannya .

Banyak pengajaran yang diperolehi sekiranya filem yang tepat dan bermanfaat diambil untuk dikaji persoalan yang dibentangkan. Filem mengenai perang dunia hanyalah sebagai satu contoh, terdapat banyak lagi filem bergenre lain yang saya rasa sesuai untuk ditonton seperti filem Forrest Gump,The Shawshank Redemption dan The Martian Child yang saya lihat mampu memberikan inspirasi kepada yang menontonnya.

Juga tidak lupa karya hebat dari negara seberang seperti Sang Murabbi, Perempuan Berkalung Serban (sedikit liberal saya kira) dan Laskar Pelangi yang cantik jalan cerita dan teknik pengambarannya. Oh ya, bagaimana pula dengan filem tempatan seperti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam? Oh, tolonglah, mendengar tajuknya sahaja saya sudah mual…