obob dan dubdub kembali…(pt.3 Petang Itu)
Petang itu…
Petang itu petang hari raya. Abah cakap abah nak bawak kami semua keluar jalan-jalan keliling Pekan Maharani, Muar. Selalunya, setiap ajakan abah untuk keluar jalan-jalan pasti akan saya sambut dengan girang. Apa taknya, kalau pergi keluar ke pekan abah akan ambil sedikit masa untuk singgah di gerai tepi laut yang menjual Rojak Tanjung Agas yang merupakan penangan istimewa masyarakat Muar disini.
Tetapi, petang itu entah kenapa saya rasa berat untuk menyahut ajakan abah. Rasa sayang pula nak tinggalkan keseronokan bermain dengan saudara sebaya saya yang rata-ratanya baru menjengah usia mumaiyiz. Tetapi, bila abah janji abah nak belanja saya rojak dan ABC Double Special sekali petang itu, saya terpaksa akur dengan pujukannya yang amat sukar untuk ditolak.
Mungkin ada sebab kenapa lain abah teringin benar nak bawa kami keluar petang itu. Maklumlah, kami sekeluarga jarang sekali menyambut 1 syawal bersama Tok Bah, datuk saya di Muar. Selalunya, kami akan bertakbir raya di Masjid Felda Lurah Bilut yang terletak di kampung belah emak saya. Tetapi, tahun itu berbeza. Abah memilih untuk menyambut hari raya di Muar pada tahun itu.
Oleh sebab tak ramai yang nak ikut, abah pinjam kereta Tok Bah untuk ke pekan. Walaupun bunyi enjinnya agak garau, kereta Datsun warna putih keluaran tahun 70’an tu masih lagi gagah untuk membawa kami sekeluarga jalan-jalan. Angah dan achik pun ikut sekali. Angah dengan saya mengambil tempat di belakang manakala Achik yang masih lagi mentah berdegil untuk duduk di hadapan bersama emak. Setelah jauh meninggalkan perkarangan rumah Tok Bah tiba-tiba saya rasa pelik. Kenapa abah tidak memandu keretanya sendiri?
Lagi 2 kilometer sebelum sampai ke pekan, perut saya dah mula berbunyi seolah-olah ia dapat menghidu bau masakan yang sedap. Malah, dalam fikiran pula, gambar Rojak Tanjung Agas yang mengiurkan dipasangkan dengan ABC Double Special menjelma kembali menyebabkan saya mula jadi tidak keruan. Duduk pun dah mula jadi tak selesa.
“Abah janji nak belanja ABC Double Special kan?” Saya mengingatkan abah akan janji manisnya tadi.
“Ye…ye abah janji, tapi sebelum tu, kita singgah Rumah Tanjung dulu nak? Dah lama dah abah tak pergi Rumah Tanjung. Rasa rindu pula.”Abah membalas.
Pulak dah. Saya terduduk kembali. Bayangan rojak dan ABC tiba-tiba menghilang. Saya mencebik muka tanda tidak berpuas hati.
“Janji nak bawak pergi pekan tapi nak pergi Rumah Tanjung pula.” Keluh hati saya yang pada masa itu masih lagi gagal untuk memahami betapa signifikannya Rumah Tanjung kepada abah.
Rumah Tanjung adalah rumah asal keluarga Tok Bah sebelum berpindah ke sebuah rumah baru di Pekan Bakri. Rumah itu mempunyai pengertian yang besar pada abah kerana disitulah bermulanya abah dan adik beradiknya membesar dengan segala macam kesusahan. Gaji Tok Bah pula tidaklah sebesar mana. Hanya cukup-cukup sahaja untuk menyuap mulut 11 orang anak-anaknya.
Tetapi, walaupun bergaji rendah, pendidikan anak-anaknya tidak sekali diabaikan ataupun ‘diringankan’. Rumah Tanjung menjadi saksi Tok Bah dalam membentuk abah adik-beradik menjadi insan berjaya. Tok Bah jarang sekali berkompromi dalam aspek pendidikan. Rotan sepanjang satu meter ditayangkan jelas di dinding ruang tamu Rumah Tanjung sebagai tanda keseriusannya.
“Siapa cuba cari nahas…kena piap la dia…” kata abah sambil menghentak sedikit kuat stereng kereta setelah selesai menceritakan kisah silamnya tinggal di Rumah Tanjung.
Walaupun kini Tok Bah sudah tiada lagi, legasi yang ditinggalkannya dapat dilihat melalui hasil didikan anak-anaknya dimana kesemuanya beroleh kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Tapi, saya masih lagi tak puas hati…janji tetap janji dan ia mesti dituntut dan abah tak boleh buat-buat lupa dalam hal ini. Saya mula mengorak langkah.
“Tapi, abah kata abah janji nak…aaaaaaaaaaaaah”
……………………………………………………………………………………………………………………………………………..

