JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for October, 2008


KEPERCAYAAN…

Apabila bercakap mengenai isu-isu yang berkaitan dengan agama, perkara pertama yang muncul dalam minda ialah pastinya sesuatu yang melibatkan perkara-perkara teknikal seperti fiqh, akhlaq, sirah ataupun apa-apa sahaja yang berorientasikan amalan yang zahir.

Perkara-perkara ini jugalah yang sering dibincangkan dalam usrah. Secara umumnya, usrah ataupun perkumpulan kecil kadangkala hanya memfokuskan perbincangan perkara-perkara yang menjadi identiti agama tersebut.

Identiti yang saya maksudkan adalah subjekseperti  sirah, tilawah, isu-isu islam dan sebagainya.

Adakah salah untuk perkumpulan kecil ini membincangkan isu ini? Tidak.

Bagi saya, tiada langsung kecacatan dalam usrah sekiranya perbincangan mereka hanya menumpukan aspek-aspek sebegini.

Selagi mana perbincangan tersebut menghala kearah positif dan membentuk individu yang proaktif, saya adalah orang pertama yang menyokongnya.

Namun begitu, pengalaman saya di Dublin telah mengajar sesuatu kepada saya dimana terdapat sesuatu yang saya rasakan hilang daripada agama ini.

Sesuatu yang menjadikan agama ini berisi dan berjiwa.

Sesuatu yang menghidupkan agama ini dalam diri saya.

Apabila saya menyaksikan sendiri dihadapan mata seorang sister irish mengucapkan dua kalimah syahadah, baru saya mengerti elemen apa yang hilang itu.

Elemen yang saya maksudkan ialah KEPERCAYAAN.

Sister Irish tersebut tidak mungkin mengucapkan kalimah tersbut dengan hati yang kosong.

Mustahil benar dia ingin masuk islam semata-mata tekanan kerana menghadiri program berunsurkan islam.

Pastinya ada sesuatu yang mendorong beliau untuk memilih agama ini.

Pastinya sesuatu yang mendorong tersebut ialah KEPERCAYAAN.

KEPERCAYAAN bahawa perlunya beliau kepada satu kewujudan superior yang dinamakan tuhan.

Tuhan sebagai tempat menyeru, mengadu dan mendengar segala musibah

Tuhan sebagai tempat mengisi kekosongan dalam jiwa yang tidak bisa diisi dengan lautan materialisme.

Tetapi…

Adakah persoalan ini timbul dalam perbincangan ‘circle’ kita i.e masyarakat muslim yang muslimnya kerana lahir dari kalangan muslim?

Hal ini kerana saya khuatir agama yang saya anuti selama ini hanyalah berkisarkan ibadat semata-mata.

Jarang sekali saya memikirkan hikmah yang terdapat dalam setiap syariat yang diturunkan. Apatah lagi, sekian lama saya DIFAHAMKAN bahawa setiap muslim apabila dia mahu kekal beridentitikan muslim dia hendaklah melakukan segala apa yang disyariatkan. Itu sahaja.

Saya risau jenis agama yang saya anuti ini yang hanya menumpukan kepada aspek ibadah semata-mata. Saya takut, segala ibadat yang dilakukan tiada langsung membawa untuk berkenalan dengan si DIA yang mensyariatkan setiap ibadat tersebut sehingga akhirnya terhakis KEPERCAYAAN saya terhadap-Nya.

Apabila terhakis KEPERCAYAAN tersebut maka ibadah tadi tentunya gagal menjadi pelindung kepada hamba-Nya daripada melakukan maksiat. Ibadah yang sepatutnya mengekalkan hubungan antara hamba dengan tuhan tidak mampu lagi menjalankan fungsinya.

Justeru, walaupun ibadah dilaksanakan, ianya hanyalah bersifat dualistik. Yakni menjadi topeng kepada lambakan maksiat yang dilakukan. Ia sudah menjadi sesuatu yang bersifat sampingan. Ritual.

Saya terharu apabila melihat sister Irish tersbut menangis teresak-esak melafazkan kalimah yang mengembalikan fitrahnya kepada islam. Tidak pernah saya melihat keindahan agama seperti ini dalam hidup saya secara langsung.

Keindahan beragama yang didasari sepenuhnya dengan KEPERCAYAAN. Bukannya beragama  dengan berasaskan unsur-unsur PENDOKTRINAN.

Terpegun juga sendirian melihat suasana yang sedang berlaku sambil mengadu kepada diri sendiri:

Alangkah indahnya jika usrahku begini….