JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for September, 2008


Salam Lebaran

“Kali kedua sambut syawal di perantauan, tak rindu keluarga ke?” Tanya seorang rakan saya.

Rindu keluarga?

“Lebih daripada itu” teriak hati saya.

Opah and Tok Ayah

Opah and Tok Ayah

Inilah kali kedua saya meraikan ketibaan syawal jauh dari pangkuan keluarga saya. Perasaan rindu telah menjadi semakin kuat sehingga rasanya tidak boleh dijelmakan dalam bentuk yang boleh difahami.

Kadangkala, apabila termangu sendirian, satu persatu wajah ahli keluarga menerpa minda.

Saya terbayang  wajah dan rindu dengan nenek yang telah mengajar saya membaca muqaddam dan seterusnya menjadikan saya mahir dalam qiraat.

Saya terbayang wajah dan rindu dengan Tok Ayah yang berulang alik menguruskan perjalanan saya ke sekolah semasa darjah satu sehingga akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Saya terbayang wajah dan rindu kepada Pak Sedara dan Mak Sedara yang sering membantu saya ketika dalam kesusahan dan menjadi pendorong dalam segala usaha saya.

Saya rindu kepada adik-adik yang menceriakan saya dengan menjadi mangsa ‘buli’ dulu-dulu.

Saya rindu kepada Abah yang tidak henti-henti ‘memaksa’ saya memilih jalan yang sukar agar menjadi seorang yang betul-betul berkualiti.

Dan akhir sekali…

Saya rindu dan sedih apabila terbayang wajah emak yang saya yakin terkilan beraya tanpa seorang pun anak terunanya disisi buat pertama kali.

Maafkan saya, semua. Tak bermaksud ingin menghibakan syawal yang mulia. Tetapi, apakan daya.

I’m taking the path less travelled.

Selamat Hari Raya Aidilfitri…

Panas…Panas

Hari ini memang panas betul. Panasnya begitu menggelegak hingga kepala hampir meletup. Mana taknya, sila baca berikut:

http://malaysiakini.com/news/90447

‘Hadiah badan’ disamakan dengan sedekah? Biar betul orang ini! Macamana dia boleh samakan satu amalan yang mulia dengan satu amalan yang hina! Saya memang panas betul. Hangit satu badan.

Ada orang kata mungkin dia tersasul ataupun mungkin pihak media hanya quote satu bahagian sahaja daripada keseluruhan kenyataan orang ini. Ah, masakan! Kalau sudah keluar kenyataan tersebut secara yakin tidak mungkin orang ini tersasul. Malah, sampai sekarang masih lagi tidak tahu malu untuk memohon maaf dan membetulkan keadaan. Apa kes?

Huh, ‘termasak’ sedikit pahala puasa akibat bahang kejahilan.

P/s: Islam kena di-tajdidkan…Sudah loya bila ada orang memanipulasi sentimen agama massa untuk keuntungan atau kepentingan peribadi. Massa perlu difahamkan dengan islam intelektual bukannya islam adat dan ritual sahaja.

OPEN HOUSE….

Open House MSM di Dublin...Datang, Jangan Tak Datang...

Open House MSM di Dublin...Datang, Jangan Tak Datang...

Senja Siasah Ar-Rumi…

Sebuah sajak bersempena dengan iklim siasah di tanah air:

Orang gasar datang menjengah[1]

Dari Danube empat ratus batu setengah

Cuba memikir seribu helah

Ingin menjajah kota yang megah

Siasah sudah hilang haluan

Pemerintah sudah tidak keruan[2]

Dua ekar tanah hamparan

Enggan berkompromi rela ditaruhkan

Satu petang yang sungguh kelam[3]

Disangka hamba rupanya tentera

Membunuh penjaga pintu kota

Membuka laluan angin binasa

Rom diratah[4]

Rakyat berdarah

Rumah ditarah

Harta bersepah

Tamat sudah sebuah catatan

Kisah agung kota idaman

Lupa jangan sebuah kisah

Bisa berulang kerana ia sejarah

Ilham dari cebisan ‘the sack of rome’ catatan Zosimus, Sozomen, Photius, Procopius dan Olympiorius


[1] Orang Gasar ( barbarian ) yang dimaksudkan ialah orang goth yang berasal daripada pedalaman German. Pada tahun 408, satu ketumbukan tentera orang Goth pimpinan Alaric bersiap sedia untuk menakluk Rom. Ramai sejarawan percaya yang ianya disebabkan keadaan terdesak orang Gasar ketika itu yang ingin melarikan diri daripada ancaman yang dibawa oleh orang Hun (Atilla the Hun?)

[2] Pada waktu ini, empayar Rom dibahagikan kepada dua bahagian, timur dan barat. Kawasan barat diperintah oleh Honorius manakala bahagian timur oleh Arcadius. Diharapkan dengan pembahagian kawasan ini ia dapat mengelakkan perebutan kuasa tetapi lumrah manusia, tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada. Kedua-dua pemerintah saling berbalah antara satu sama lain.

[3] Disebabkan kubu kota Rom yang ampuh, Alaric merancang satu pelan serangan yang lain. Dia mengumpulkan sejumlah anak muda untuk menyamar sebagai hamba dan diberikan kepada golongan bangsawan Rom. Anak muda ini diarahkan untuk membuka pintu kota Rom dari dalam pada ‘apabila harinya telah tiba’ (Procopius:1.2)

[4]Sebaik sahaja pintu kota Rom dibuka, orang Gasar menyerbu masuk dan menyerang sesiapa sahaja yang menentang. Ramai rakyat Rom yang terkorban. Daripada peristiwa ini juga lahir istilah Vandalisme. Vandalisme berasal daripada perkataan Vandal yang merujuk kepada satu puak orang Gasar. Menurut Dictionary.com, vandalisme bermaksud merosakkan sesuatu yang bermanfaat dengan mempunyai niat tertentu (Racist?)

AUKU Melahirkan Pemimpin Yang Berkualiti

Seringkali apabila saya membaca berita mengenai pergerakan pelajar, saya akan mendapati mereka akan melakukannnya secara berhati-hati kerana takut dicekup dengan AUKU. Sebahagian daripada mereka tidak berani menganjurkan demonstrasi ataupun bantahan secara keras kerana bimbang disenarai hitamkan dan lebih teruk lagi diberhentikan pembelajaran oleh pihak pentadbiran IPT.

Justeru, kesannya lahirlah konotasi AUKU membantutkan minda pelajar dan dari situ timbul pula ‘generalisation’ dalam bentuk kesimpulan bahawa AUKU, dalam masa yang panjang, akan melahirkan pemimpin yang tumpul mindanya. Penyataan ini secara umumnya amat saya tidak persetujui.

Saya seperti biasa suka untuk mengambil pandangan yang berbeza daripada orang lain. Bukannya apa, kalau asyik nak setuju sahaja dengan ‘general trend’ bukankah itu ketandusan idea namanya dan negara tidak ingin ketandusan pemimpin yang berkualiti bukan? Lagipun, molek juga sekiranya satu isu itu diberi nafas baru melalui perspektif yang berbeza supaya ia menjadi lebih hangat untuk dibincangkan dalam mencari solusi yang terbaik.

Baiklah berbalik semula kepada AUKU…

Persoalan yang ingin saya timbulkan dalam penulisan yang penuh dengan kekurangan ini ialah adakah AUKU benar-benar membantutkan perkembangan minda pelajar?

Bagi saya, secara peribadi, AUKU tidak boleh dan tidak mampu sama sekali untuk membantutkan minda kita semua sebagai pelajar. Hal ini kerana, minda seperti mana yang kita semua tahu bergerak dalam satu dimensi yang lain. Minda tidak seperti anggota fizikal kita yang lain. Walaupun minda itu ialah tunjang ataupun ‘otak’ kepada sesebuah pergerakan pelajar ia juga merupakan satu-satunya komponen yang tidak kelihatan. Malah, boleh juga dikatakan minda ialah sesuatu yang wujud, tetapi tidak kelihatan dan tidak memenuhi ruang. Macam hantu.

Kalau kita lihat kepada AUKU, banyak sekali peraturan-peraturan tatatertib yang digazetkan hanya melibatkan kekangan yang bersifat fizikal (1). Maka point saya disini ialah AUKU hanya mampu mengekang pergerakan pelajar sahaja dan ia tidak boleh sama sekali mengekang minda mereka kerana, seperti yang saya sebut sebentar tadi, minda tidak mempunyai sifat-sifat empirik (boleh dihidu, dirasa, dilihat dan lain-lain).

Jelas sekali apabila tiada kekangan yang boleh dikenakan keatas minda maka apakah boleh minda kita menjadi bantut? Sudah tentu tidak, bukan? AUKU hanya mampu berfungsi untuk mengekang pergerakan pelajar sahaja tetapi ia tidak boleh mengekang minda para pelajar lantas ia juga tidak mampu menahannya daripada berkembang.

Bagi saya, mereka yang beralasan negara akan kehilangan pemimpin yang bantut mindanya disebabkan AUKU ialah mereka yang melebihkan pergerakan pelajar daripada proses kemasan idea di sebalik pergerakan tersebut. Mereka yang lebih mementingkan output daripada input dan proses. More physical than mental. More brute than intelligent.

Memang betul pergerakan pelajar (output) yang lahir daripada pemikiran (input dan proses) seperti protes, referendum, memorandum dan bantahan penting dalam membuktikan ‘feasiblity’ sesuatu idea dan ianya boleh ‘mati’ akibat AUKU. Tetapi, yang mati hanyalah komponen fizikal daripada keseluruhan proses pergerakan pelajar itu sendiri. Idea, yang juga bersifat ghaib, akan terus hidup dan inilah yang paling penting sekali.

Sekiranya sesuatu idea yang bernas dijana, dianalisis kemudian diperkemaskan lagi dengan proses penajaman melalui perbincangan dan sesi ‘brainstorming’ ia boleh diterjemahkan dalam bentuk protes, referendum, memerondum dan bantahan yang lebih berkualiti pada satu masa dimana AUKU sudah tidak relevan lagi. Yakni, ketika para pelajar berhijrah dari alam universiti ke alam pekerjaan.

Inilah landasan yang sebenar untuk seseorang itu benar-benar bergiat cergas dalam politik kerana soal makan minum yang merupakan sumber asas kehidupan sudah tentu terjamin melalui penerimaan segulung ijazah yang berkualiti. Tanpa perlu membimbangkan pasal pelajaran sudah tentu fokus lebih banyak boleh ditumpukan kepada mengasimilasikan idea yang dijana ketika mana pergerakan masih lagi dibelenggu oleh AUKU.

Oleh itu masih relevan lagikah penyataan bahawa AUKU bakal melahirkan pemimpin yang kurang berkualiti? Kalau ya, apakah justifikasi anda bagi penyataan tersebut? Walaupun contoh ini mungkin lemah, kita lihat sahaja di UK dimana pergerakan pelajarnya boleh dikatakan pada satu tahap yang lebih bebas daripada di Malaysia. Tetapi, apakah lahir pemimpin yang terbaik daripada? Sama sahaja bukan?

Jadi kesimpulannya, AUKU tiada langsung berkaitan dengan penghasilan produk insaniyah yang lemah serta bantut pemikirannya. Segalanya berkaitan dengan keinginan pelajar itu sendiri samada mahu mencambah ataupun tidak mindanya. Jika tidak ingin bantut minda maka larilah daripada kemalasan dan tajamkannya dengan banyak membaca bahan-bahan yang berkualiti.

Renungi segala hikmah yang terdapat di dalamnya. Kemudian, analisis sebelum mensintesiskan idea yang berkualiti untuk diketengahkan bagi memajukan negara serta mencantas kezaliman. Bak kata Vendetta dalam V for Vendetta sebelum beliau dibunuh selepas idea ‘anarchism’nya berjaya ditanam kedalam masyarakat dan seterusnya mencetuskan revolusi:

“Beneath this mask is not only flesh and bones but, ideas. And ideas are bulletproof”

Ya, jasad bisa diterajang, dibunuh, dirobek dan dipisah-pisahkan tetapi idea bernas yang lahir dari minda yang dinamis dan kritis tidak akan terjejas sama sekali.

(1) - http://www.slideshare.net/myPajamanation/akta-universiti-dan-kolej-universiti-auku-1971/