Tinta Soloist Clonskeagh (2) (updated)
Politik Tanahair dari kacamata pengembara Clonskeagh (satu tribute buat DS W.Azizah)
Buat kali kedua pentas politik tempatan disajikan dengan berita panas dan sensasi mengenai DS Anwar. Kali ini DS Anwar kembali dituduh dengan tuduhan yang merupakan kegemaran rakannya yang bertukar menjadi musuh yakni pertuduhan liwat. Entah mengapa punyalah banyak perbuatan tak bermoral yang ada di Malaysia, liwat juga yang dipilih. Mungkin kerana keseriusan dosanya yang bukan sahaja mencalar imej politik seseorang itu malah menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap keikhlasan perjuangan seseorang dalam menegakkan islam.
Inilah dia kebobrokan dunia catur politik. Dek kuasanya yang mengiurkan ramai yang sanggup untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkannya walaupun terpaksa bermain kotor. Kalau ada yang ikhlas memilikinya, itu tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kuasanya boleh digunakan untuk memperkasakan syariat dan menegakkan keadilan. Tetapi, lain pula jadinya sekiranya kuasanya digunakan untuk memenuhi selera nafsu seperti peluang untuk memperoleh pendapatan lebih melalui penerimaan wang suapan serta menghukum mereka yang dianggap musuh yang harus diselesaikan serta-merta.
Selain itu, kerana politik jugalah sebahagian manusia yang tidak berdosa terpaksa menerima seksaan, mental ataupun fizikal. Lihat sahaja mangsa-mangsa Kem Tahanan Kamunting. Kebanyakan mereka terpaksa meringkuk didalamnya dan diseksa sehabis mungkin walaupun tiada bukti yang kukuh melesenkan kemasukan mereka kedalamnya. Hal ini semua gara-gara sesetengah pemain politik yang takut pada dosa mereka sendiri. Ya, dosa mereka sendiri. Mereka takut orang-orang ini bisa mengkhabarkan dunia perihal dosa yang mereka lakukan. Oleh sebab itu, mereka tidak mengendahkan tangisan anak kecil dan rayuan sayu sang isteri dalam menghumbankan sesiapa sahaja yang dipercayai mampu menjadi musuh mereka ke dalam penjara asalkan pekung maksiat mereka terjaga.
Sebenarnya, tujuan saya menulis ini adalah untuk melahirkan rasa simpati saya kepada DS Dr. W.Azizah. Sepanjang hidup beliau bersama dengan DS Anwar, banyak ombak cabaran yang harus beliau tongkahi juga ratusan jerung-jerung ganas yang terpaksa beliau hadapi. Saya tidak tahu bagaimana perasaan seorang isteri apabila diberitakan yang suaminya dituduh meliwat bukan untuk sekali tetapi dua kali. Apa yang pasti, saya yakin benar yang beliau pasti berasa sedikit sedih dan kasihan melihat suaminya yang terpaksa menerima sepak terajang dunia politik. Iyalakan, isteri mana yang tak kasihkan suami. Kagum sungguh saya rasa terhadapnya dan juga isteri-isteri warga tahanan politik lainnya yang tidak bersalah. Walaupun menerima tempias seksaan yang diterima oleh warga suami, mereka tetap berdiri teguh di belakang mereka memperjuangkan keadilan.
Inilah yang saya pelajari hari ini mengenai dunia politik. Bak dalam filem star wars, dunia politik ini macam satu dunia yang ada ‘light side’ dan ‘dark side’. Yang ada pahlawan jedi dan juga pahlawan sith. Yang ada pejuang kebenaran dan juga penegak kebatilan. Dunia yang memiliki dua identiti perjuangan.
Saya juga tertarik untuk merakamkan satu quote dari Yoda ketika berbicara dengan Luke Skywalker mengenai dua jenis ‘identiti’ tersebut yang ada dalam filem ini. Ianya berbunyi:
“A jedi (light side) care not himself but others….. be tempted to the dark side you must not, for fear, anger and wrath a sith you will be” ( sedikit ubahsuai, relevenkah? Erm…fikir sendiri )
Hurm…masihkah lagi ada para jedi ( baca: mujaddid ) yang sanggup bersusah payah membersihkan dan memperbaharui dunia politik hari ini daripada kekotoran jahiliyah? Yang mampu membawa cahaya kepada dunia yang saban hari diselubungi oleh ‘dark side’? Fuh, satu persoalan yang mudah dilemparkan tetapi tidak mudah dijawab. Namun begitu, jika keadilan itu benar dan kita beriman dengan perkara yang benar maka keadilan itu tetap harus diperjuangkan walau payah mana sekalipun.
Hurm…harap-harap saya sendiri juga begitu. Sanggup untuk melimpahkan cahaya ke dalam dunia gelap ini membawa kebenaran walaupun dihujani cabaran.
Oklah, sampai di sini dahulu. Jumpa lagi di lain kali. Salam Closnkeagh.





