JUk’s

There are 2 types of person. The giver and the taker. Of course the taker will have good meals but the giver gets better sleep.

Archive for May, 2008


Kritikan

Hsc1816l

Saya ada menghantar sebuah penulisan ke sebuah laman web tempatan. Tajuknya mudah iaitu mengenai EXAM. Saya menulisnya menggunakan gaya dan bahasa yang santai. Tiada kalimah yang begitu kompleks mahupun ayat sastera yang berdarjat tinggi. ‘Simple’.

Alhamdulillah, feedback yang saya terima kesemuanya baik-baik belaka. Tetapi, bukan itu yang saya mahu. Saya mahu dikritis. Ditunjuk mana kelemahan dan dihuraikan kesilapan dalam penulisan saya.

Saya mencari pembaikan. Pujian saya terima dan saya suka tetapi pujian ataupun kritikan yang membina walaupun mengandungi perisa sindiran itu lagi saya alu-alukan.

Nasib baik, dalam banyak-banyak pujian yang saya terima, ada satu kritikan yang saya dapat. Saya bergembira kerana masih ada yang sudi dan berani menghulurkan cili kepada saya. Tetapi, cili merah yang saya minta, cili padi pula yang diberi. Komennya pedas sangat kurang beradap.

Kritikan saya boleh terima. Teguran bisa saya dengari.

Namun begitu, pastikan ia berbalut dengan budi dan adap yang mulia. Lagi satu pastikan konteks penulisan itu dahulu difahami sebelum semburan cili dilepaskan. Saya menulis menurut pemahaman saya bagaimana untuk kita memahami konsep EXAM di DUNIA, bagaimana EXAM itu diuruskan dan bagaimana harus kita menghadapinya di DUNIA.

Saya spesifik-kannya untuk konteks di dunia sahaja tetapi satu komen tersebut yang saya terima mempersoalkan kenapa tidak disentuh soal EXAM di KUBUR? Bukankah ia lebih penting? Tambahnya lagi soal exam di dunia ini ratanya telah diketahui UMUM dan tidak perlu sangat disentuh.

Sebelum saya menjawab, saya berterima kasih kepada pemberi komen tersebut kerana sudi memberi komen lain dari yang lain.

Pertamanya, saya cuba untuk tidak menyentuh soal EXAM di KUBUR kerana soal ini juga sebenarnya sudah diketahui UMUM. Jadi tidak kira saya tulis yang mana satu pun, ia sama sahaja, kedua-keduanya merupakan isu yang berpanjangan sejak dari penciptaan manusia lagi.

Keduanya, kalau saya menulis pasal EXAM di KUBUR pengetahuan saya mengenainya amatlah sedikit dan saya tak berani untuk menyentuh isu yang saya tidak arif. Itu prinsip saya dalam penulisan. Mengulas sesuatu yang tidak arif semata-mata supaya nampak ‘gempak’ merupakan satu ‘suicide’ bagi saya. Ia membunuh maruah diri saya.

Ketiga, saya kira dua-dua isu sama penting. Apa yang saya faham, sebagai muslim kita harus kaut kedua-keduanya, dunia dan akhirat. Jadi, kalaupun saya tidak membincangkan isu EXAM di KUBUR, ini tidak bermakna saya tidak cenderung kepada bab agama. Dunia itupun sebahagian daripada agama. Maka, sama sahajalah kalau saya menulis bab EXAM di DUNIA kerana kedua-duanya sebahagian daripada agama.

Akhir sekali, terima kasih kepada semua yang memberi kritikan. Anda semua sebenarnya telah banyak membantu meningkatkan ilmu saya. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi kerana saya tidak suka menerbitkan pencakaran yang tidak perlu. Semoga Allah ampunkan dosa saya dan dosa kalian semua. Wassalam.

p/s: artikel yang saya maksudkan ada di blog ini- Exam oh Exam.

Bergerak ke Paris…

Boeingryanair

     Malam ini saya bercadang untuk tidur di Airport Dublin agar tidak terlepas flight ke Paris pada pukul 6.30 pagi. Sengaja saya pilih waktu di awal pagi kerana harga tiket yang lebih murah.

     Rombongan kali ini agak besar dan terdiri daripada 6 teruna. Walaupun teruna, tujuan kami kesana bukanlah untuk mengambil kesempatan daripada status Paris sebagai bandar romantik untuk mencari losyen cinta tetapi lebih kepada melepaskan tekanan peperiksaan yang baru sahaja selesai.

     Kami bercadang ingin bersiar-siar di sekitar bandar Paris dan melihat pelbagai keindahan yang dimilikinya. Eiffel tower merupakan ‘top of the list’ monumen yang kami ingin lawat. Hal ini kerana, hanya dengan bergambar di depan Eiffel Tower sahajalah yang mengesahkan samada seseorang itu sudah ke Paris ataupun belum walaupun buku passport telah di ’stamp’ kan oleh pihak imigresen di airport.

     InsyaAllah, kalau ada kesempatan nak juga rasanya merasa ayam KFC di Paris. Dengar ceritanya ayam KFC disana halal kerana taukenya seorang muslim. Wallahualam. Mungkin akan disoal siasat dulu kot restoran tersebut sebelum membeli ayam disana. Dah lama rasanya tak makan KFC.

     Akhir sekali, tidak dilupakan juga komuniti islam di Paris. Kalau kami ada masa dan tahu dimana ingin mencarinya, kami akan berusaha untuk melawat saudara seagama disana. Rasa ingin tahu juga bagaimana kehidupan beragama di sini yang kuat pengaruh sekularnya. Susahkah ataupun mudah?

     Apa-apapun kami memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar melindungi perjalanan pergi dan balik kami. Harap-harap perjalanan ini di redhai-Nya dan semoga kami memperoleh pengalaman yang berharga. Sebagai penutup sedikit quote dari Syeikh Muhammad Abduh sekembalinya beliau dari melawat Paris.

" Di barat, aku temui Islam tanpa muslim tetapi disini (mesir) aku temui muslim tanpa Islam".

Fikir-fikirkanlah.

Rumah baru

Clons

Lumrah hidup di perantauan, kita tidak boleh duduk di sesuatu tempat lama-lama. Bak golongan Nomad yang senantiasa berpindah randah, begitu juga dengan golongan undergraduate yang mengikut keperluan terpaksa berpindah-randah dari satu masa ke satu masa. Dalam kes saya, hal ini demikian kerana Student Hall di UCD tidak boleh menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk kami bagi tahun kedua pengajian. Rumah yang ada terhad. Keutamaan untuk tinggal hanya diberikan kepada pelajar tahun satu sahaja. Itupun tidak semua yang dapat. Pelajar antarabangsa terkecuali.

Nak tak nak saya terpaksa mencari tempat tinggal yang baru. Ia perlu dilakukan secepat mungkin kerana pada 30 Mei ini saya dikehendaki untuk keluar dari Student Hall. Dihalau tetapi secara terhormat dan ‘legal’. Namun begitu, perkara mencari rumah ini bukanlah semudah membeli rumah mainan. Banyak prosedur dan karenahnya. Lebih-lebih lagi jikalau inginkan sebuah rumah yang dekat dengan UCD itu sendiri dan juga masjid.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Usaha mencari rumah dimulakan dengan membentuk pakatan-pakatan yang terdiri daripada pelajar ‘batch’ saya. Rata-rata rumah di luar harga sewanya dalam 2000 euro sebulan secara purata. Jadi, setiap rumah harus diduduki sekurang-kurangnya 5 orang agar harga sewanya di sekitar kemampuan kewangan kami sebagai pelajar. Inilah langkah pertama. Batch saya yang terdiri daripada lebih kurang 25 orang muslimin harus dibahagikan sama rata. Suka sama suka. Tetapi, pening juga kerana selera masing-masing berbeza.

Setelah beberapa sesi perbincangan dan tawar menawar dilaksanakan, akhirnya, kesepakatan telahpun dicapai. Pakatan saya dianggotai oleh saya sendiri , Irfan, Izzar, Nazirul dan Hakimi.

Seterusnya kami duduk berbincang dalam menentukan kriteria pencarian rumah. Kalau boleh rumah idaman yang dicari biarlah yang terletak berdekatan dengan masjid dan juga UCD. Sebab pertamanya, ia memudahkan kami untuk solat berjemaah termasuk fardu SUBUH ( InsyaAllah ) dan juga membuka lebih luas peluang kami untuk bergaul dengan masyarakat islam tempatan. Selain itu saya juga tidak mahu melepaskan peluang berguru dengan syeikh-syeikh di masjid Clonskeagh yang tebal ilmunya. Sebab keduanya, kami ingin dekat dengan UCD agar tidak perlu berjalan jauh-jauh sehingga boleh mengganggu kosentrasi mencedok ilmu dari dewan kuliah disebabkan kepenatan.

Selesai meletakkan kriteria pencarian, pemburuan rumah dimulakan di laman siber. Laman web Daft.ie menjadi halaman tetap dilawati setiap hari. Setiap rumah yang diiklankan diperhati dengan teliti. Mana-mana sahaja iklan rumah yang memenuhi kehendak kriteria akan di’save’kan ke dalam akaun yang disediakan oleh pihak Daft.

Langkah seterusnya agak rumit. Dari laman siber kawasan pemburuan berpindah pula ke dunia sebenar. Rumah yang ‘hot’ menjadi rebutan antara pakatan-pakatan dan juga orang luar. Prinsip siapa cepat dia dapat menentukan siapa yang menang dan berhak. Bukan itu sahaja, kadangkala faktor keberkesanan komunikasi dan negosiasai antara pihak pencari rumah dan pemilik rumah juga boleh jadi faktor penentu. Siapa yang kalah harus akur dan belajar dari kekalahan. Tetapi, pencarian harus diteruskan.

Pencarian rumah sememangnya amat sukar dan menyulitkan. Contohnya, seperti yang dialami oleh pakatan kami sendiri, Kami terpaksa mencuba 3 buah rumah sebelum menemui rumah idaman. Rumah pertama yang memenuhi kriteria terlepas begitu sahaja setelah minat diluahkan kepada si ejen yang menguruskan rumah tersebut. Hal ini kerana, si ejen merasakan lebih senang untuk mengambil orang tempatan sebagai penyewanya.

Cubaan kedua pula gagal bercampur sakit hati. Sekali lagi kami terpaksa bersaing dengan orang luar dan berhadapan dengan karenah sang ejen. Sang ejen pula bukan ejen sebarangan. Melecehkan dan menyusahkan. Meminta pelbagai dokumen rasmi dengan alasan untuk memudahkan urusan. Tetapi, akhirnya tuan rumah sendiri yang menemui penyewa yang berkenan di hati. Kata orang, buang karan sahaja berurusan dengan sang ejen.

Rumah ketiga pun tidak kurang ragamnya. Asal dirisik memang si ejen enggan menyewakan rumah tersebut kepada kami. Alasannya kerana kami adalah pelajar dan dia risau sekiranya kami berprahara di dalam rumah tersebut dan memusnahkan segala isinya.Walaupun alasannya realistik tetapi jauh di hati, kami sungguh terasa sekali.

Tetapi, sekeras-keras agen tersebut apabila diberitahu yang kami sanggup mempertaruhkan 3000 euro sebagai cagaran deposit keselamatan dan juga bersedia untuk membayar 200 euro lebih dari pada harga yang diiklankan sebagai bayaran sewa bulanan, dia pun lebur. Cair. Suara yang tadinya keras dan garau tiba-tiba bertukar menjadi lunak dan bersimpati. Tak semena-mena layanan yang diberikan kepada kami berubah begitu drastik sekali. Seolah-olah status kami bertukar dari anak tiri ke anak sendiri.

Bukan itu sahaja, sekiranya urusan penyewaan rumah yang lazimnya mengambil masa seminggu untuk disiapkan, kami hanya memerlukan 5 hari sahaja untuk memperoleh kunci rumah. Pantas benar seperti restoran segera. Entahlah, saya pun kurang faham, ragam manusia saya kira. Apabila diumpan dengan duit semuanya pantas belaka. Yang terjengkit-jengkit boleh berlari. Yang lembab terus mendahului.

Apa-apa pun kami bersyukur kepada Ilahi kerana mengurniakan kami rumah yang sepadan dengan idaman kami. Tidak kisah walaupun kocek koyak sedikit. Yang penting rumah tersebut memenuhi kehendak  hati, Alhamdulillah.

InsyaAllah, sebagai menghargai nikmat yang diberi, kami akan cuba untuk menjadikan kunjungan ke masjid setiap fardu satu polisi wajib rumah. Selain itu, harapan kami juga agar dengan kekerapan ke masjid nanti dapat mendekatkan diri kami dengan komuniti muslim tempatan dan lebih mengenali mereka. Semoga percambahan idea dan pertambahan pengalaman dapat berlaku dengan perbuatan tersebut.

Kesimpulannya, proses pencarian rumah merupakan satu proses yang kompleks dan rumit. Namun begitu, saya seronok dengan pengalaman ini. Pengalaman seperti seolah-olah melihat sebuah drama di kaca televisyen. Penuh dengan debaran suspen dan aksi tarik menarik. Cuma drama ini lain dari yang lain. Wataknya begitu hidup sekali dan asli, tidak dilakonkan. Skripnya juga bukan rekaan dan buatan tetapi luahan spontan oleh watak-watak yang memainkan peranan masing-masing dalam melakar karenah hidup insani. Watak-watak insan.

Drama ini drama yang sarat dengan pengajaran. Mengajar saya untuk mengenali sifat dan karekter insan ciptaan tuhan. Dipertontonkan kepada diri agar diperhati dan diteliti untuk menambah luhur keimanan di hati. Tujuannya:

Agar saya mengenal insan untuk saya mengenal tuhan.

Satu puisi hari ini…

Cuba nak bersajak pula kali ini heheh…

Ibu_1

Semua ibu di luar sana patut gembira hari ini

Seorang anak dari kejauhan

Menyampaikan salam berbungkus keikhlasan

Memperingat keringat

Menghargai jasa

Yang pernah dicurah mereka

Dalam mencorak akhlak peribadi

Dalam mengajar si Anak menjadi seorang abdi ilahi

Si Anak tidak bisa membalas

Jasa ibu yang tidak terbatas

Tapi si Anak mampu menadah

Berdoa dan menyeru sambil berserah

Agar Tuhan kisah menghulurkan hassanah

Menjadikan ibunya ahlus-solehah

Ibunya hanya Satu

Itu, si Anak tahu

Ibunya tunggal tiada gantian

Itu yang si Anak sentiasa berpesan

Kepada diri sendiri

Agar terus ingat

Dan terus INGAT

Jangan sesekali lupa siapa Ibumu…

Ahmad Zulkifli Mohamed Shukor

Serambi Belgrove

10 May 2005, 10.32 p.m

Salam hari jadi dari emak…

Gambar_hari_jadi1_4

                Alhamdulillah, segala puji pada yang Esa, saya diberi peluang untuk menjengah tahun  ke-21 ulangtahun kelahiran saya. Seperti biasa, pada ulangtahun sebegini saya akan menerima posto-posto ucapan dari keluarga dan rakan-rakan. Begitu juga dengan ruangan comments di friendster kadangkala sarat dengan ucapan-ucapan sebegini. Ada juga yang menggunakan e-card dihiasi dengan tulisan berbelit-belit dan gambar ‘paste-on’ untuk tujuan tersebut. Apa-apapun, terima kasih kepada kalian semua atas ucapan-ucapan tersebut. Saya amat menghargainya.

                Dalam banyak-banyak edisi hari jadi, saya rasa saya mungkin tidak boleh melupakan sambutan hari jadi saya yang pertama dalam memori. Walaupun perkara itu sudah berlaku 16 tahun dahulu (ketika itu saya berumur 5 tahun), saya masih lagi mengingatinya walaupun sedikit samar-samar. Mana mungkin saya lupa peristiwa tersebut kerana itulah kali pertama emak saya menyambut hari jadi anak sulungnya yang baru mumaiyiz.

                Saya ketika itu amat naif sekali. Apa yang bermain difikiran hanyalah mainan dan mainan. Kalau lapar pula makanan jadi gantian. Kalau disebut pasal sambutan hari jadi, kenaifan saya menyamatarakan sambutan tersebut dengan pesta mengisi perut. Itu sahaja. Kedangkalan saya untuk menghayati tarikh yang penting ini ketika itu membuat saya terfikir semula pada hari ini akan kepentingan peristiwa ini dalam kehidupan seorang insan.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………

                Hari itu hari minggu, emak di dapur sedang mengocoh sesuatu manakala saya pula baru bangun dari tidur. Lendir liur masih lagi melekat mengalir di celah bibir. Mata pula separuh terkatup ataupun separuh terbuka. Mendengar bunyi kocohan di dapur saya terangsang oleh perut yang kosong untuk pergi menyiasat.

                “Emak buat aper tu?”, bicara saya yang pertama pada hari itu.

                “Eh, anjoi dah bangun? Emak tengah buat kek.” Balas emak saya sambil menyimpulkan senyuman.

                “Kek? Nyam2…anjoi pun lapar nih” saya mengadu sambil tidak faham akan signifikan kek tersebut.

                “Lapar ke? Takpe, anjoi mandi dulu nanti dah siap kita makan, k?” Emak cuba memujuk selera saya supaya bersabar. Saya akur dan lantas terus menuju ke bilik air untuk mandi.

                Usai mandi saya terus menyarung sebarang baju dan seluar yang sempat saya capai. Angah pula baru bangun. Seperti saya, angah terus menuju ke dapur meniru perbuatan saya sebentar tadi. Abah tiada di rumah, saya tak pasti abah pergi mana. Lupa pula nak tanya emak.

                Sementara menunggu kek masak, saya duduk diatas sofa menonton TV. Rancangan pada hari minggu memang saya nanti-nantikan. Banyak kartun disiarkan dan semuanya menarik belaka. Ultraman merupakan kegemaran saya ketika itu selain Kesatria Baja Hitam. Kedua-duanya punya daya penarik yang menyebabkan saya tergam di atas sofa di setiap pagi hujung minggu.

                Selang beberapa minit kemudian, saya dah boleh terbau sesuatu dari dapur. Harum dan menyelerakan. Bau tersebut sungguh hebat sehingga mengejutkan nafsu makan saya yang sedang berhibernasi. Perut saya mula bergelojak. Perhatian saya mula teralih daripada TV walaupun ketika itu Ultraman sedang melaksanakan jurus penamatnya.

Emak melangkah keluar. Tangannya yang bersalut apron menanggung sebentuk kek yang diletak diatas tempat memotong sayur. Tidak tertahan lagi, saya terus meluru ke arah emak.

                “Wow, emak, sedapnye!!!” saya memuji sambil berpetah kebudak-budakan apabila melihat sebongkah kek coklat berbentuk seperti buku teks Berne and Levy terhidang di atas meja.

                “Sedapkan?” Emak tersenyum sahaja mendengar pujian saya. Sedapke? Fikir saya.

                “Happy birthday, anjoi!” Tiba-tiba sahaja mak melafazkan satu kalimah yang baru bagi saya. Satu kalimah yang saya kira kosong isinya kerna tahap pemikiran saya yang terhad ketika itu. Happy birthday? Saya terkesima. Kehairanan. Lantas saya memalingkan wajah ke arah emak.

                “Happy birthday tu apa, emak?” Saya cuba meminta penerangan bagi kalimah tersebut.

                “Happy birthday tu…”

                Emak mengatakan sesuatu tetapi, saya gagal untuk mengingatinya.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………

                Saya tak ingat apa yang emak katakan pada hari itu. Mungkin secara ‘default’ emak ingin mengatakan yang happy birhtday itu adalah ucapan tahniah sempena ulangtahun kelahiran saya. Namun begitu, saya percaya, lebih daripada itu emak lakukan semua itu untuk satu tujuan. Supaya saya gembira dan sebagai lambang kasih sayangnya kepada saya.

                Ya, saya sangat gembira ketika itu. Walaupun comot melahap setiap potongan kek yang diberi emak, saya rasa sungguh sukaria. Emak pun sama. Tersenyum berseri-seri. Hari itu sungguh manis semanis lapisan coklat cair yang membaluti gebu ‘spongecake’ yang emak buat.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………

                Kata sesetengah orang menzahirkan rasa kasih tak seharusnya khusus pada hari tertentu sahaja. Saya balas, kalau kalian dewa perkara tersebut memang tidak mustahil.

                Janganlah lari dari realiti. Bukankah tidak boleh dengan keadaan sekarang dimana kita sentiasa dihurungi dengan kesibukan mempunyai daya dan upaya untuk berkasih-kasihan setiap masa?

                Oleh itu sentiasalah peka dengan kedatangan hari-hari yang penting ini. Catatlah ia dimana-mana tempat yang kita fikir mampu memperingatkan kita. Tidak perlupun untuk mengadakan ‘function’ yang khusus pada hari tersebut. Cukup sekadar memberi ucapan tanda ingatan kepada mereka yang kita sayangi. Jalinkanlah kemesraan dan yang paling penting sekali carilah di celahnya keredhaan Ilahi, pemberi segala cinta dan peraih segala kasih.

                Akhir sekali, kalian fikir remeh menyambut hari jadi ini? Saya kata…TIDAK!!!