Hidup bersama E-Bay
Teknologi IT telah merevolusi segala-segalanya. Kebanyakan senario harian manusia dilihat banyak berubah dek kepesatan dalam pembangunan teknologi ini. Jikalau dulu, kekasih yang berjauhan hanya mengharapkan dedikasi posmen untuk memastikan surat yang melambangkan keutuhan tautan kasih antara dua insan berkekalan. Kini, tugas posmen digantikan pula oleh elektron-elektron yang pantas menyelusuri jalur lebar. Jika itu tidak mencukupi, perisian capaian perbualan seperti YM ataupun MSN M boleh digunakan sebagai medium perbualan menggantikan abang-abangnya iaitu gagang telefon yang cukup tegas dengan ugutan bil yang melambung bagi menghalang pasangan daripada berbual lama-lama .
Namun apa yang paling menarik dapat aku perhatikan disini ialah perubahan yang dibawa teknologi IT kepada dunia komersial. Jikalau aku ingin membandingkan trend dalam dunia komersial sekarang dengan trend komersial 20 tahun dahulu mungkin terdapat jurang yang besar di antara keduanya. Mungkin bapaku dapat melihat perubahan yang dapat dilihat kesan daripada penggunaan kredit kard dalam urusan pembelian tetapi aku dapat memerhati kesan yang berlaku kepada trend kontemporari konsumer hari ini apabila dua konsep digabungkan, iaitu penggunaan kredit kad dan juga pembelian secara online.
Ribuan laman web yang menawarkan khidmat pembelian online seperti e-bay, amazon dan sebagainya terdapat di dunia IT. Setiap hari, ada sahaja, bahkan mampu mencapai jutaan angka dalam jumlah, pengunjung yang meneroka laman web-laman web ini untuk mencari barang yang dikehendaki. Ada lagak yang seperti kedai kasut dan mengkhusus dalam satu jenis barang sahaja. Ada juga yang lagak seperti kedai All-in-one menawarkan berbagai pilihan yang merambangkan. Melihat orang dan merasa sendiri pembelian secara online ini telah memahat pengalaman baru dalam kelana aku di sini.
Di Malaysia, jarang aku mendengar kawanku memperkatakan tentang pembelian online. Ingin sahaja barang keperluan, pasaraya Giant hanya beberapa langkah sahaja di luar pagar. Nak tukar handset baru? jangan risau…Ah Meng Phone and Repair hanya sekangkang kera dan bersebelahan pula dengan kedai buku yang seolah-olah melemparkan nada sinis bagi mereka yang membelanjakan wang scholar untuk bergaya. Natijahnya, jarang sekali aku dengar kawanku menyentuh mengenai tawaran hebat di laman web mahupun meminta pendapat daripadaku mengenai barang-barang yang diiklankan di ruang siber.
Berlainan pula disini. Falsafah yang kian menular sekiranya teringinkan sesuatu ialah: Ketuk dada tanya e-Bay!!!
E-Bay hampir menguasai corak pembelian disini. Apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran pasti dirujuk di e-Bay. Kasut? Baju? Handset? sebut sahaja nescaya e-Bay akan terlebih dahulu bermain di minda berbanding kedai-kedai di bandar. Ada banyak sebab kenapa fenomena e-Bay ini telah melanda koloni sahabatku dan aku sendiri di sini. Faktor yang agung ialah kerana harga yang ditawarkan lebih murah jika nak dibandingkan dengan harga di kedai-kedai biasa. Seterusnya, kemudahan penghantaran yang dipakejkan seolah-olah memahami sikap malas ingin berjalan. Selain itu, perasaan girang yang dikecapi setelah menerima barang yang dipesan melemaskan debaran suspen yang terpaksa dirasai ketika menunggu barang pesanan. Tidak dilupakan juga, kehadiran ahli baru dalam keluarga dompet, adik kredit kad yang nakal, sering memujuk diri dan meningkatkan kuasa membeli sambil melemahkan daya pertimbangan dalam menjustifikasikan sesuatu keputusan.
Namun, tidak semuanya manis dalam berurusan di e-Bay. Ada sahaja kelemahan yang dapat dilihat berpunca daripada perkhidmatan ini. Sebagai contoh, basikal yang aku laburkan sebanyak 100 euro di e-Bay tidak menepati apa yang aku nak seperti digambarkan dalam ruang iklan.Prestasinya di atas jalan jauh berbeza daripada apa yang digembar-gemburkan. Selain itu terdapat berbagai lagi masalah berpunca daripada fenomena ber’e-Bay’ ini. Sebagai contoh, masalah yang melanda sahabat-sahabatku yang lain seperti, tersalah saiz ketika mendapat baju yang baru dibeli, kerosakan yang tersorok, penipuan dan banyak lagi. Semuanya adalah kenyataan yang tidak dapat dipisahkan ketika berurusan di e-Bay. Walaupun kita dapat bertindak dengan meninggalkan feedback yang negatif kepada penjual namun pada hakikatnya suara kita yang kecil tidak mampu memberhentikan mereka daripada terus memburu mangsa seterusnya sambil bermandikan lautan wang.
Justeru, kita haruslah berhati-hati dalam menggunakan kemudahan ini. Tidak salah untuk terjun dan berurusan di dunia online tetapi pertimbangan yang wajar hendaklah dibuat sebelum membuat sebarang keputusan. Selain faktor harga, faktor mutu juga harus diambil kira. Kita bukan sahaja hendak barang yang murah tetapi barang tersebut mestilah berkualiti agar kita tidak perlu berbelanja dua kali pada harga yang lebih mahal berbanding sekiranya kita membeli satu barang yang sama tetapi kualitinya terhebat.
Apa-apa sahajapun…e-Bay merupakan contoh terbaik dalam menggambarkan impak yang dijana oleh revolusi IT yang kian menggila baru-baru ini. Samada kita suka ataupun tidak, realitinya kita harus bersiap-sedia dalam menghadapinya dan belajar untuk hidup dengan kegilaan ini supaya tidak jauh tercicir dibelakang mahupun dilabel manusia purba.
P/s: Untuk gambaran lebih lanjut tentang e-Bay. Amatlah disarankan untuk melawat laman web ini: http://www.youtube.com/watch?v=HYokLWfqbaU


